
all-about-RAMADHAN-PUASA
Taqwim Hijrah
Pada saat awal penentuan bagi memilih kalendar yang bakal digunakan oleh umat islam, terdapat pelbagai pendapat yang timbul dalam kalangan sahabat nabi saw. Ada yang menyarankan agar permulaan kalendar ini adalah saat kelahiran nabi saw dan ada juga yang mengatakan guna sahaja taqwim rom dan parsi. Selepas berbincang, khalifah Umar ra ketika itu memilih untuk bersetuju dengan cadangan Ali ra agar tarikh permulaan kalendar islam ialah saat penhijrahan nabi saw dari Makkah ke Madinah.
Bagi memilih bulan permulaan tahun pula, khalifah telah bersetuju dengan cadangan Uthman bin Affan ra agar memilih bulan Muharram sebagai bulan permulaan dalam taqwim islam. Kebanyakan ulamak mengatakan harus bagi kita menggunakan kalendar masihi dan ia bukanlah satu kesalahan namun apa yang menyedihkan terjadi dalam kalangan umat islam zaman kini ialah kita menggunakan kalendar masihi secara berlebihan sehingga melupakan ‘aset’ kita sendiri.
Firman Allah:
“ sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah 12 bulan di dalam kitab Allah(al-Quran). Pada hari Dia menjadikan langit dan bumi. Di antaranya ada 4 bulan yang suci( iaitu bulan yang diharamkan berperang iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab ) “
Melalui ayat ini Iman Qurtubi mengatakan dalam tafsir Al-Qurtubi 8/133 bahawa wajib menghubungkan hukum ibadat dengan bulan-bulan yang diketahui di kalangan orang arab dan bukannya dengan bulan-bulan di kalangan orang ajam( bukan arab ) kerana terdapat perbezaan bilangan.
Apabila bercerita tentang anak bulan, ia adalah penanda sesuatu bulan bakal tiba. Nabi saw apabila melihat anak bulan akan berdoa dengan doa:
“ ya Allah, turunlah ke atas kami rasa kesenangan, juga keimanan, kesejahteraan dan keselamatan, Tuhanku dan Tuhanmu ialah Allah. “
Oleh itu disunatkan kita untuk berdoa dengan doa ini apabila melihat anak bulan moga-moga mendapat keberkatan melalui doa tersebut.
Urutan bulan dalam taqwim Hijrah:
1. Muharram
2. Safar
3. Rabiul awal
4. Rabiul akhir
5. Jamadil awal
6. Jamadil akhir
7. Rejab
8. Sya’ban
9. Ramadhan
10. Syawal
11. Zulkaedah
12. Zulhijjah
Penentuan anak bulan Ramadhan
Permulaan bulan mulia ini berdasarkan sistem taqwim Hijrah yang berpandukan pada perjalanan bulan. Terdapat 2 cara bagi menentukan masuk atau tak bulan ramadhan :
1. Dengan melihat kepada anak bulan.
Firman Allah :
“ maka barang siapa di antara kamu yang telah melihat anak bulan maka hendaklah dia berpuasa. “
(Al-Baqarah ayat 185)
Anak bulan ramadhan dilihat pada malam yang ke 30 syaban dan ia dilakukan oleh 1/2/sekumpulan saksi yang adil. Syarat bagi menjadi seorang saksi:
-lelaki
-adil
-merdeka
-Ar-Rusyd(pandai menguruskan harta)
-menjaga maruah
-melihat anak bulan dalam keadaan jaga
-tidak bisu
-tidak pekak
-tidak buta
-tidak melakukan dosa besar
-tidak berterusan melakukan dosa kecil
Namun jangan disalah erti sehingga kita pergi mengintip mencari kesalahan seorang saksi. Kata imam Syafie memadailah kita tahu saksi ialah seorang yang berpewatakan baik.
Hukum melihat anak bulan adalah fardhu kifayah.
2. Dengan mencukupkan bulan syaban 30 hari apabila susah melihat anak bula kerana terlindung oleh awam atau kerana langit mendung.
Sabda nabi saw:
“ Hendaklah kamu berpuasa kerana melihat anak bulan dan berbuka kerana melihatnya(anak bulan), maka apabila terhalang(melihatnya) dengan sebab mendung, maka hendaklah dicukupkan sya’aban 30 hari. “
( riwayat Bukhari dan Muslim )
Perkiraan Hisab Falak Moden
Penetapan sesuatu tarikh seperti bila bermulanya bulan Ramadhan adalah sesuatu yang sangat penting bagi memastikan keseragaman dan kesatuan dalam ummah ini. Meskipun perkara ini kelihatan kecil namun jika dalam skala yang besar, ketidakseragaman yang timbul secara tidak langsung mampu menimbulkan perpecahan.
Atas dasar ini, kebanyakan ulamak era kini lebih bersedia untuk menggunakan perkiraan hisab bagi menetapkan suatu tarikh dan tidak hanya bergantung pada ‘melihat’ anak bulan sahaja.
Menurut Imam Taqiyuddin as-Subki dalam fatwanya:
“ Ilmu hisab menafikan kemungkinan dilihat anak bulan itu dengan pancaindera(mata). Dalam masalah ini, seorang qadi boleh menolak saksi yang telah menyaksikan anak bulan kerana penyaksian adalah bersifat zanni. Ini kerana penggunaan ilmu hisab adalah bersifat yakin(pasti) manakala penyaksian dari seseorang adalah bersifat sangkaan. Kemungkinan juga penyaksian itu berlaku penipuan. Maka, mestilah perkara yang diyakini(qat’ie) itu didahulukan dan diambil kira untuk menentukan anak bulan Ramadha dan lain-lain ialah dengan perkiraan falak. “
( Fatawa as-Subki 1/219-220 )
Memetik kata-kata Syeikh Muhaddith Ahmad Syakir, beliau menyebut bahawa :
“ Perkiraan dengan melihat anak bulan itu untuk golongan ummi (iaitu) golongan yang tidak tahu membaca dan menghitung. Apabila keadaan umat islam telah banyak berubah, yang mana mereka telah tahu membaca dan menulis dan mereka tidak lagi bergantung kepada golongan bukan islam, maka hendaklah digunakan perkiraan hisab bukan dengan melihat anak bulan. Ini kerana ia merupakan jalan yang terbaik dan lebih utama dan lebih dekat untuk penyatuan umat islam. “
Hal ini berdasarkan hadis nabi saw:
“ sesungguhnya kami adalah kaum yang ummi( tidak tahu membaca dan menulis ), kami tidak tahu menulis dan menghitung akan sesuatu bulan itu dan ini iaitu sama ada 29 hari atau 30 hari. “
( riwayat Bukhari dan Muslim )
Pandangan ini telah diterima oleh syeikh Yusuf Al-Qaradawi, Syeikh Ahmad Syakir dan Syeikh Rashid Redha. Bagi Malaysia kita menetapkan suatu tarikh menggunakan kedua-dua kaedah ini.
Pensyariatan Perang
Apabila menyebut ‘islam’ di mata dunia, ramai golongan tak kira dari apa jenis latar belakang sekalipun, 2 perkara yang akan terlintas di belakang minda mereka adalah ‘jihad’ dan ‘keganasan’.
Ya... Itulah keadaan kedudukan islam di mata majoriti manusia yang melata di atas muka bumi ketika ini. Tak hairanlah keadaan sebegini berlaku memandangkan pengaruh media massa sejujurnya adalah tidak memihak kepada insan yang memperjuangkan kemuliaan islam.
Tapi bagi insan yang punya kesedaran akan hakikat islam, kita sedar bahawa muslim tidak menyalahkan keadaan tapi kita memilih langkah terbaik bagi menghadapi suatu kejadian tak kiralah apapun ia sekalipun.
Jadi dengan mukaddimah diatas, saya kali ni nak ajak kita buka mata diri sendiri dan sebarkan kepada mereka yang masih belum tahu akan...
PENSYARIATAN PERANG DI DALAM ISLAM
Asas yang menjadi sebab kepada suatu peperangan didalam islam antaranya ialah untuk mempertahankan agama dan maruah umat islam dari penindasan dan kezaliman.
Penyebaran islam bukanlah dengan mata pedang semata-mata tapi islam kini kekal kukuh kerana islam ialah ajaran yang menitik beratkan akhlak terpuji dan luhur. Jika islam hanyalah agama yang diterima kerana mata pedang(senjata) sudah pasti islam kini sudah musnah kerana telah berpuluh tahun kita tidak lagi menjadi satu ummah yang punya kekuatan senjata utama seperti senjata nuklear.
Peperangan pertama yang dihadapi oleh umat Muhammad saw adalah perang Badar. Allah SWT mesyariatkannya adalah semata-mata untuk mempertahankan kesucian agama islam dari dinodai. Umat islam ketika itu yang menerima perintah ini merasa sangat bersyukur kerana mereka akhirnya dibenarkan untuk bangkit dari penindasan dan kezaliman yang telah dilakukan pada mereka setelah sekian lama.
Firman Allah SWT dalam Al-Hajj ayat 39-41:
“ Diizinkan berperang kepada orang(islam) yang diperangi, kerana mereka telah dianiaya, dan sesungguhnya Allah amat berkuasa untuk menolong mereka(untuk mencapai kemenangan).
Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya tanpa alasan yang benar,(mereka dipulaukan) semata-mata kerana mereka berkata; Tuhan kami ialah Allah. Dan kalaulah Allah tidak mendorong sesetengah manusia itu yang menentang pencerobohan sesetengahnya yang lain, nescaya runtuh seluruh tempat sembahan, gereja-gereja(kaum nasrani), tempat sembahyang(kaum yahudi) dan juga masjid-masjid(orang islam) yang sentiasa disebut nama Allah sebanyak-banyak kepada-Nya. Sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya(islam). Sesungguhnya Allah maha Kuat lagi maha Berkuasa.
Iaitu mereka(umat islam) yang jika kami berikan mereka kekuasaan memerintah nescaya mereka akan mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menyuruh kebaikan dan melarang kemungkaran. Dan(ingatlah) Allah jua-lah kesudahan segala urusan. “
Indahnya kefahaman dan pensyariatan islam difirmankan lagi dalam surah As-Syura ayat 40:
“ Dan (jika kamu berbalas) maka balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang sama dengannya. Maka sesiapa yang memaafkan dan berdamai maka pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Dia tidak mengasihi orang yang zalim. “
Belajar dan hayatilah sejarah permulaan islam melalui nabi SAW dan kita akan sedar, peperangan yang dilakukan hanyalah satu bentuk keadilan bagi menundukkan kezaliman dan penindasan.
Ghazwatu al-Badr
Siapa yang tak pernah mendengar tentang peristiwa yang sangat bersejarah dalam diari umat islam ini, inilah perang yang menjadi satu titik permulaan kepada kebangkitan islam dengan sangat drastik.
Perang Badar berlaku pada 17 Ramadhan tahun ke 2 hijrah. Segalanya bermula apabila nabi saw memerintahkan agar beberapa sahabat untuk menyerang kafiah dagang Quraisy yang pulang dari syam menuju ke Makkah. Namun, harus kita memahami erti perintah nabi saw ini, Baginda saw bukan menginginkan keburukan mahupun memulakan satu peperangan tetapi Baginda saw hanya ingin menuntut kembali hak umat islam yang telah dirampas oleh orang Quraisy sewaktu mereka masih berada di Makkah dahulu.
Rombongan dagang ini diketuai oleh Abu Sufian bin Harb. Apabila Abu Sufian mendengar berita akan rombongannya ingin diserang, beliau telah menghantar surat kepada kaum Quraisy memohon bantuan mereka, dengan itu 1000 orang tentera lengkap bersenjata keluar menuju ke rombongan tersebut. 600 tentera siap berbaju perisai, 100 ekor kuda siap dengan baju perisai dan 700 ekor unta .
Bersama-sama mereka juga adalah penari perempuan yang akan menari dan menyanyi bagi mengutuk islam seterusnya menaikkan semangat tentera Quraisy.
Pasukan islam yang keluar menyerang rombongan tersebut hanyalah 313 orang, dengan membawa 70 ekor unta dan hanya 2 ekor kuda sahaja.
LIHATLAH DAN RENUNGKANLAH PERBEZAAN YANG CUKUP KETARA.
Setelah mendapat persetujuan dari para sahabat, Baginda saw mengetuai angkatan tentera seramai 313 orang ini keluar menuju ke tempat berhampiran Badar. Disana, Baginda saw telah berpindah ke satu tempat yang startegik bagi menyekat sumber air kemudian membina khemah di belakang barisan tentera atas cadangan al-Hubbab ra dan Saad bin Muaz ra.
Sewaktu tiba masanya bagi kedua-dua tentera ini bertempur, Baginda saw meluruskan barisan tentera islam lalu membakar semangat mereka dengan bersabda :
“ Demi Tuhan yang jiwaku berada didalam genggaman-Nya, sesiapa yang memerangi mereka (tentera musryrik) pada hari ini, kemudian dia terbunuh di dalam keadaan kesabaran dan ikhlas,terus maju dan tidak lari di medan pertempuran, nescaya Allah akan memasukkannya ke dalam syurga. “
Selepas itu, Baginda saw pulang bersama Abu Bakar ra ke khemahnya dan di situ Baginda saw berdoa memohon pada Allah:
“ Ya Allah, laksanakanlah apa yang Engkau janjikan, datangkan apa yang telah dijanjikan kepadaku. Ya Allah, jika Engkau memusnahkan satu kumpulan yang kecil dari orang islam ini, nescaya Engkau tidak akan disembah lagi di muka bumi ini. “
Nabi saw memanjangkan doanya dengan deraian air mata sehingga kain selendangnya jatuh lalu berkata Abu Bakar ra :
“ Cukuplah, wahai Rasulullah. Sesungguhnya, Allah akan melaksanakan janji-Nya untukmu. “
Peperangan ini bermula dengan pertandingan satu lawan satu antara Hamzah dan Utbah, Ali dan Shaibah serta Ubaidah dan al-Walid. Ketiga-tiga pertempuran ini dimenangi pihak islam dan ini secara tidak langsung telah menaikkan semangat umat islam dan menjatuhkan semangat tentera Quraisy.
Tanpa melengahkan masa, tentera Quraisy segera menggempur tentera islam namun dengan izin Allah peperangan ini meskipun dengan jumlah tentera yang sangat berat sebelah telah mengangkat martabat umat islam dengan kemenangan yang gilang gemilang. Dalam peperangan ini dapat disaksikan bagaimana ketetapan Allah itu mengatasi perintah makhluk apabila Abu Ubaidah al-Jarrah membunuh bapanya yang menjadi musuh tegar orang islam.
Firman Allah dalam surah al-Mujaadilah ayat 22 :
“ Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih mesra dengan orang yang MENENTANG Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang yang menentang itu bapa-bapa mereka, anak-anak mereka, saudara mereka, ataupun keluarga mereka . Mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan pertolongan daripada-Nya; dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya. Allah reda akan mereka dan mereka reda nikmat pemberian-Nya. Merekalah para penyokong ( agama ) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong-penyokong Allah itu ialah orang-orang yang berjaya. “
Kira-kira 70 orang musyrik terbunuh dan 70 orang lagi telah ditawan. Tentera Quraisy yang telah ditawan ditetapkan hanya perlu mengajar anak orang islam seramai 10 orang membaca dan menulis.
Islam bukanlah satu agama yang menghukum tapi ia adalah agama yang mendidik. Perang Badar adalah satu tanda dari Allah bahawa Islam bukanlah agama yang kuat kerana jumlah penganutnya yang ramai tapi kekuatannya datang dari keyakinan yang tak berbelah bahagi dengan janji Allah.
Cahaya Ramadhan
Cahaya itu petunjuk. Dalam menyelusuri arus dunia di zaman kini, meskipun kita terang disinari mentari di siang hari dan cerah dengan cahaya lampu di malam hari namun ramai dari kita lupa dan tidak sedar tentang arus dunia yang semakin menggelapkan cahaya keimanan di dalam hati.
Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 257:
“ Allah ialah wali(pelindung) orang yang beriman yang mengeluarkan mereka dari kegelapan kepada cahaya. “
Indahnya Ramadhan kerana rata-rata setiap saat dalam bulan ini dipenuhi dengan ibadat yang di dalamnya terkandung cahaya kebenaran yang membawa insan semakin dekat dengan pencipta-Nya.
Firman Allah dalam surah An-Nur ayat 35:
“ Allah memberi cahaya bagi penduduk langit dan bumi. Perumpamaan cahaya seperti pelita yang mengandungi lampu. Lampu itu berada di dalam pelita kaca dan pelita itu seperti bintang yang bersinar terang yang dinyalakan dari pokok yang diberkati iaitu pokok zaitun. Tidak mengadap timur atau ke baray hampir-hampir minyaknya (zaitun itu) menyala walaupun tidak disentuh oleh api. Cahaya di atas cahaya. Allah memberi hidayat dengan cahayanya(petunjuknya) kepada sesiapa yang dikehendaki dan Allah sentiasa membuat perumpamaan-perumpamaan kepada manusia. Dan Allah maha mengetahui terhadap tiap-tiap sesuatu. “
Bulan ini bulan mulia yang mana umat islam akan bergegas dan berusaha melakukan amal kebaikan sebanyak mungkinn selaras dengan firman-Nya dalam surah Ali-‘Imran ayat 133:
“ Dan bersegeralah kamu mendapat keampunan dari Tuhan kamu dan syurga yang lebarnya di antara langit dan bumi yang disediakan kepada orang-orang yang bertaqwa. “
Di dalam kalangan bangsa arab apabila tiba bulan Ramadhan mereka akan menggantung tanglung(fanus) serta sepanduk bagi menunjukkan kesyukuran dan kegembiraan dengan kehadiran bula penuh barakah ini.
Maka haruslah bagi kita umat islam berasa penuh gembira serta yakin dengan janji-janji Allah seperti yang disebut dalam surah Ali-‘Imran ayat 136:
“ Mereka( orang-orang yang bertaqwa ) balasan mereka keampunan dari Tuhan dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya dan itulah sebaik-baik ganjaran bag orang-orang yang beramal. “
Bagi menjadikan hati ini sentiasa gembira dengan cahaya yang bakal menjelang ini nabi saw menyarankan kita agar melazimi doa ini :
“ Ya Allah, jadikanlah hatiku bercahaya, lidahku cahaya pandanganku cahaya, pendengaranku cahaya, kiri dan kananku cahaya, di atas dan di bawahku cahaya, di hadapan dan belakang cahaya, jadikanlah diriku (sentiasa) bercahaya. “
24 Fadhilatnya yang sering ku Lupakan
Dalam menyingkap tabir bulan penuh barakah, bulan harapan yang menyinari kegelapan hati-hati manusia. Seringkali kita terleka dan lupa untuk mengambil iktibar serta peluang untuk memanfaatkannya bagi meletakkan diri yang hina ini di satu kedudukan yang lebih hampir dengan Allah Rabbul Alamin.
Bukankah telah kita ketahui bahawa setiap amal anak adam itu miliknya kecuali ibadat puasa? Sesungguhnya puasa itu adalah bagi Allah dan Allah-lah yang berhak membalasnya.
Adakah telah kita lupa bahawa Dia lebih menyayangi kita melebihi dari kasih sayang seorang ibu buat anaknya?
Lalu mengapakah kita leka dan selalu bermalas-malasan dalam mengerjakan ibadah sedangkan ibadah itu manfaatnya bukan untuk Allah tapi untuk diri kita sendiri juga.
Sama-sama kita renungkan...
Jadi jom sekarang mari kita selami 24 kelebihan dalam mengerjakan ibadah puasa :D
1. Pujian Allah buatmu wahai mukmin yang berpuasa.
“ orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji (Allah), yang berpuasa (atau yang mengembara menuntut ilmu), yang rukuk, yang sujud, yang menyuruh kepada kebaikan dan mencegah daripada kejahatan dan yang menjaga ketetapan Allah. Maka berilah khabar gembira kepada orang yang beriman (dengan syurga). “
( Al-Taubah ayat 112 )
2. Ibadah ini tiada bandingannya.
Dari Abi Umamah ra berkata:
“ Aku bertanya; Ya Rasulullah, perintahkanlah kepadaku suatu amalan yang memasukkan aku ke dalam syurga.
Jawab nabi saw: Hendaklah kamu puasa kerana puasa tiada bandingannya. “
( Riwayat al-Nasa’ie )
3. Ibadah ini Allah sandarkan pada-Nya.
Sabda nabi Muhammad ﷺ:
“ setiap amalan anak adam adalah untuknya kecuali ibadah puasa. Sesungguhnya puasa itu adalah bagi-Ku dan Akulah yang membalasnya. Puasa itu merupakan benteng. Apabila seseorang daripada kamu berpuasa , maka janganlah bercakap keji.
Jika seseorang memakinya atau memeranginya katakanlah; Saya sedang berpuasa.
Demi jiwa Muhammad yang berada di tangan-Nya(kekuasaan-Nya), bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari kiamat daripada bau kasturi. Bagi orang berpuasa ada 2 kegembiraan iaitu apabila dia berbuka, dia gembira dan apabila dia berjumpa Tuhannya, dia gembira dengan puasanya ( iaitu ganjaran puasa dari Allah ). “
( Riwayat Bukhari )
4. Diangkat darjat orang berpuasa.
Al-Hafiz al-Munawi dalam kitabnya Faidh al-Qadir menyebut tentang “ Akulah yang membalasnya “ dari hadis di atas :
“ Ia bermaksud sebagai satu isyarat akan besarnya ganjaran dan pahala kerana Yang Maha Mulia ( Allah ) apabila memberitahu akan memberi ganjaran, maka Dia memberi tanpa had yang menjadikan pemberiannya itu amat mulia. “
5. Puasa itu bersesuaian dengan sifat Allah yang Maha Kaya.
Imam al-Qurtubi berkata:
“ Sesungguhnya perbuatan hamba bersesuaian dengan keadaan mereka kecuali puasa. Ia bersesuaian dengan satu sifat dari sifat-sifat Allah. Seolah-olahnya Dia berkata; Sesungguhnya puasa itu mendekatkan diri kepada-Ku dengan satu perkara yang berhubungkait dengan satu sifat daripada sifat-sifat-Ku. “
6. Puasa itu kaffarah(penghapus) kesalahan.
Nabi ﷺ bersabda:
“ Fitnah seorang lelaki pada ahli keluarganya, hartanya, jiwanya, dan jirannya di kaffarah dengan puasa, sedekah dan amal makruf nahi mungkar. “
( Riwayat Bukhari )
Nabi ﷺ bersabda:
“ Siapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan mengharapkan Allah diampunkan baginya dosa yang terdahulu.
( Riwayat Bukhari )
7. Dimuliakan dengan selawat dari Allah dan malaikat.
Diriwayatkan Ibn Umar ra bahawa nabi ﷺ bersabda:
“ sesungguhnya Allah dan malaikatnya berselawat ke atas orang yang bersahur. “
( Riwayat Ibn Hibban )
8. Puasa itu benteng api neraka.
Diriwayatkan oleh Uthman bin Abi al-Ash ra bahawa nabi ﷺ bersabda:
“ Puasa adalah benteng dari azab Allah, “
( Riwayat Ahmad )
9. Puasa di musim panas ganjarannya minuman di Hari Dahaga( Hari Kiamat ).
Kata Abu Musa al-Asy’ari :
“ Sesunnguhnya Allah Taala menetapkan pada diri-Nya bahawa sesiapa yang dahaga (kerana puasa) pada musim panas maka Allah Taala akan memberi minum kepadanya pada hari di beri minuman (hari kiamat ). “
10. Puasa di musim sejuk akan dikurniakan harta yang tidak ternilai.
Nabi Muhammad ﷺ bersabda:
“ Puasa pada musim sejuk merupakan harta yang menyejukkan (tidak ternilai). ‘
( Riwayat Ahmad )
Al-Munawi berkata: Yang dimaksudkan adalah harta yang tidak diperolehi dengan cara bersusah-payah.
11. Syurga al-Rayyan memanggilmu wahai insan yang berpuasa.
Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad bahawa nabi Muhammad ﷺ :
“ Sesungguhnya di dalam syurga ada satu pintu yang dipanggil ar-Rayyan yang mana orang yang berpuasa akan masuk darinya pada hari kiamat. Ianya tidak dimasuki oleh orang lain selain mereka.
Maka diseru: Mana orang yang berpuasa? Maka mereka pun masuk .
Apabila yang terakhir (dari mereka) masuk, pintu itu ditutup sehingga tidak dimasuki oleh sesiapapun. “
Bulan melakukan kebaikan
Daripada Ibnu Abbas katanya,
“Nabi ﷺ manusia yang paling pemurah dan pemurahnya bertambah di bulan Ramadhan. Ketika Jibril bertemu dengannya setiap malam di bulan Ramadhan, Baginda bertadarrus al-Quran dengannya. Baginda sangat pemurah lebih dari angin yang bertiup sepoi-sepoi.”
( Riwayat Bukhari )
Ramadhan Bulan Sabar
Firman Allah SWT dalam surah ali-Imran ayat 200,
“Wahai orang yang beriman bersabarlah kamu (di dalam mengerjakan ketaatan dan menjauhi maksiat), saling bersabarlah kamu di dalam menghadapi musuh, berjagalah (diperbatasan negerimu) dan bertaqwalah kamu kepada Allah mudah-mudahan kamu beroleh kejayaan.”
Sabar itu terbahagi kepada 3 bahagian iaitu:
-
Sabar dalam mengerjakan ketaatan kepada Allah.
-
Sabar dari melakukan maksiat.
-
Sabar terhadap sebarang musibah.
Bulan ini ialah bulan yang sangat sesuai bagi mentarbiyyah jiwa seorang muslim dalam mengenal dan menerapkan nilai kesabaran ke dalam hati. Golongan terdahulu tanpa merungut berperang di dalam bulan ini bagi menegakkan kalimah ‘lailahailallah’. Jadi takkan lapar sikit tak boleh nak tahan kot :D