
ANAS BIN MALIK
Anas bin Malik diajar megucap dua kalimah syahadah oleh ibunya Ghumaisho' ketika masih usia kanak-kanak. Sanubarinya dipenuhkan ibunya dengan rasa cinta terhadap Nabi Muhammad SAW.
Anas dilamun cinta mendengar kisah Nabi SAW. Bukanlah pelik, ada kalanya hati rindu ingin mendengar berita walaupun mata masih belum melihat lagi bertentang.
Anak ini amat bercita-cita untuk menjejaki Nabi di Mekah. Atau kalau boleh Rasul SAW yang agung datang ke Yatsrib agar dia gembira dapat melihatnya dan girang bertemunya.
Tidak berapa lama Rasulullah SAW berada di Madinah, Ghumaisho' binti Milhan, ibu Anas datang bertemu Baginda. Beliau turut membawa bersama anaknya, Anas yang masih kecil tersebut. Anas berlari-lari di hadapannya. Rambutnya terjurai di dahinya.
Rasulullah SAW amat gembira dan menyambut anak tersebut dengan tersenyum manis. Baginda mengusap-usap kepala Anas. Nabi SAW menyentuh anak rambut Anas dengan hujung jarinya. Lalu, Baginda menjadikannya sebahagian anggota keluarganya.
Anas bin Malik atau Unais (panggilan manjanya ketika kanak-kanak) baru berumur 10 tahun ketika berliau bertuah, mula berkhidmat dengan Nabi SAW. Beliau hidup bersama dan di bawah jagaan Nabi sehingga Baginda SAW bertemu menghadap Allah Taala.
Oleh itu jangka masa beliau bersama Baginda genap 10 tahun. Ketika itulah tegukan pertama hidayah yang berjaya membersihkan ditinya. Anas peka dengan hadia Nabi SAW dan ia memenuhi dadanya. Beliau mengetahui keadaan, kisah, rahsia dan sifat mulia Baginda yang tidak diketahui oleh orang lain.
Anas bin Malik dilayan baik oleh Nabi SAW. Hinggakan anak pun tidak dapat merasai layanan sebegitu daripada bapanya.
Beliau dapat mengecapi kecantikan sifat mulia dan keagungan keperibadian Baginda SAW yang didambakan dunia.
Kata Anas bin Malik:
Rasulullah SAW merupakan manusia yang paling berakhlak mulia, amat berlapang dada dan terlalu penyayang.
Apabila Rasulullah SAW memanggil Anas, beliau akan memanggil panggilan manja iaitu Unais. Ada kala Baginda memanggil 'wahai anakku'.
Terlalu banyak nasihat dan peringatan Rasulullah SAW kepada beliau. Sehingga semua itu memenuhi dada dan menguasai mindanya.
Anas bin Malik sentiasa hidup dengan memori bersama Rasulullah SAW sepanjang hayatnya. Beliau amat gembira ketika kali pertama bertemu Nabi SAW. Manakala air mata kesedihannya bercucuran ketika hari kewafatan Baginda SAW. Beliau sering mengulang dan menyebut kata-kata Baginda.
Anas bin Malik juga bersungguh-sungguh untuk mengikuti perbuatan dan kata-kata Rasulullah SAW.
Kenangan yang paling sering diingatinya ialah hari pertama beliau bertemu Rasulullah SAW dan hari kewafatan Baginda SAW.
Anas bin Malik RA amat berharap memperoleh syafaat Nabi SAW pada hari kiamat kelak.