top of page

BANDAR BUKAN PESANTREN

‘Mendepani Landskap Baru Dakwah’

 

          Sebelum saya pergi dengan lebih mendalam saya  mengajak anda semua menilai pandangan saya dengan lebih mendalam dan saya mengajak anda semua untuk menilai semula jikalau berlaku sebarang kesilapan dalam penulisan. Sebarang kritikan dan penambaikan sangat dialu alukan. Saya seorang yang gemar memerhati budaya,gaya dan pemikiran seseorang individu mahupun norma sekelompok masyrakat. Maka saya terfikir untuk membawa mesej ini dari sudut pandang bagaimana kita perlu berurusan dengan uruf baru dakwah yang kian berubah.


          Saya memilih tajuk artikel ilmiah “Bandar Bukan Pesantren”adalah untuk mengajak kita sama dari awal lagi untuk berfikir tentang dua situasi uruf yang berbeza dan bagaimana kita sebagai pendakwah muda siap siaga di alaf baru ini. Secara mudahnya bandar merujuk pada sebuah situasi penempatan masyarakat yang dipandang maju dan mempunyai gaya hidup millenia. Manakala pesantren merujuk pada pondok yang boleh dikembangkan pemahaman kepada sebuah uruf masyarakat yang beruzlah yang berada dalam situasi sederhana,terkawal dan bebas dari pelbagai pengaruh pada hemat saya. Maka saya disini mengajak anda berfikir adakah kedua dua situasi ini memerlukan pendekatan dakwah yang sama atau berbeza. Jikalau berbeza pendekatan bagaimana yang diperlukan adakah dengan berlemah lembut atau secara bertegas ? Ini satu persoalan yang perlu difikirkan.

          Beberapa perkara penting yang perlu anda tahu dalam mendepani landskap baru dakwah kerana anda perlu faham , bandar bukanya madrasah yang setiap tingkah laku kita dipantau dan dikawal. Mungkin ramai dalam kalangan anda pernah mengikuti pengajian madrasah apa yang boleh saya ingatkan bahawa situasi anda berdakwah di pusat tarbiyah anda adalah jauh berbeza di bandar. Bandar bukan sahaja mengubah fizikal anda malah mengubah emosi,pemikiran dan rangka cara kehidupan seseorang. Maka beberapa uslub yang boleh saya berikan akan masyarakat yang baru hendak mendekatkan diri dengan agama secara lebih mendalam tidak terkejut dengan situasi yang bakal mereka hadapi.

          Pertama apa yang perlu dilakukan pendekatan memahami lebih didahulukan berbanding membuat sesebuah pandangan terhadap seseorang. Di dunia bandar setiap insan mempunyai latar belakang yang berbeza. Contohnya seorang kawan saya baginya membela anjing,keluarganya terbiasa dengan arak dan tidak menutup aurat adalah suatu perkara yang biasa. Maka dengan ini adakah kita terus tegur awak perlu bertudung semua haram-haram belaka. Kita perlu lebih berlembut kenalkan dia satu persatu mengapa harus bertudung dari sudut iman berbanding dari sudut hukum. Kita perlu sediakan ruang untuk lebihkan mendengar berbanding menbuat ‘judgement’terhadap sesuatu. Mungkin seseorang mempunyai watak seseorang yang melanggar batas syariat atas dasar situasi keluarga moden yang menyebabkan beliau tidak pernah mengetahui tentang hukum-hukum feqah. Maka kita perlu sentiasa berfikiran baik dan menyapa si dia dengan rendah diri dengan membawa agar lebih dekat dengan syariat Allah S.W.T kerana bumi bukanlah pesantren dimana semua orangnya alim belaka.

          Kedua kita janganlah mendabik dada seakan kita sahajalah yang jaguh agama. Antara kekurangan pada hemat saya anda bebas untuk tidak bersetuju, sebahagian pendakwah yang diilahirkan sepenuhnya dari sistem pondok dilihat terlalu tegas dalam berdakwah. Contoh apabila mereka datang ke bandar untuk berceramah orang-orang bandar yang baru ingin mendengar agama ditegur secara lantang dalam hal-hal kecil seperti cara duduk dalam majlis,memegang telefon ketika ceramah. Ini akan membuat suatu pandangan yang tidak selesa bagi golongan bandar yang baru kenal ilmu agama.  Cuba bersangka baik barangkali jemaah memegang telefon untuk menulis nota dan merakam audio suara untuk dikaji semula. Cuba nilai mengapa Ustaz Azhar menjadi fenomena anak muda masa kini kerana uslub digunakan lebih mesra dan mudah didekati. Jika dinilai semula UAI bukan dilahirkan sepenuhnya dari sistem sekolah agama, maka beliau lebih memahami uruf masyarakat biasa bandar. Saya disini bukan merendahkan sistem pesantren,bahkan sistem pesantren cemerlang dalam tarbiyah tetapi supaya ingin membuka minda penuntut dalam uslub agar lebih terbuka dan mudah dalam menyampaikan dakwah.

          Terakhir apa yang boleh saya cadangkan ialah luaskan ilmumu wahai pemuda mudahkan berlapang dada. Landskap baru kita berdepan dengan pelbagai ancaman idealisme yang kita kena akui sememangnya telah meresap masuk sedikit sebanyak mencorak pemikiran baru masyarakat bandar. Maka kita sebagai pemuda yang ingin berdakwah di pentas urban perlu belajar pelbagai pandangan aqidah,falsafah mahupun feqah segala mana berada di ruang lingkup ilmu Aqidah Ahli Sunnah Waljamaah. Hal ini ASWJ itu sendiri luas bukanlah sempit sepertimana disangka sebahagian pendakwah. Di era masyarakat yang tidak ambil berat akan agama yang terkesan dari percikan pemikiran liberalisme mereka akan terkejut apabila mendengar beberapa pandangan yang dianggap syadid baginya dalam feqah. Maka sebagai pendakwah kita mempunyai keluasan ilmiah untuk menonjolkan kemudahan dan kelonggaran yang masih ada dalam rangka syariat itu sendiri. Contoh zaman sekarang ada sebahagian pandangan bahawa wajib samak rumah jikalau sebelum ini rumah itu pemiliknya adalah ‘non-muslim’ . Hukum sebegini rupa yang diketengahkan dalam masyarakat berpemikiran moden akan melihat agama ini menyukarkan. Maka sebagai pendakwah di pentas urban perlu melihat budaya,pemikiran dan integrasi masyarakat dalam menerangkan sesebuah isu dan pendapat. Lihatlah secara ringkasnya pendapat dimana asal samak untuk menyucikan kulit haiwan dan sesuatu yang benar-benar terbukti jelas wujud najis perlu disucikan. Maka ada keluasan dan kita sebagai pendakwah perlu mempunyai ilmu yang luas supaya mudah dapat menterjemahkan islam dalam pelbagai uruf masyarakat.

          Kesimpulannya sedarilah bumi ini bukanya pondok yang kita diami dimana wujud kefahaman dan budaya islam yang tinggi.Marilah mentarbiyah bumi menjadi pesantren millenia yang moden demi tugas amanah duniaku dakwahku.

 

bottom of page