Hati nak. Minda nak. Apa boleh buat kan? Maka terlanjurlah si dara dan si teruna dalam perjuangan cinta mereka. Siapa yang patut dipersalahkan? Salahkan ibu yang mengandung? Salahkan bapa yang membesarkan?
Salahkan si dia yang diangkat dijunjung macam dewa? Atau salahkan diri sendiri yang dipenuhi hawa nafsu sehingga menutup pertimbangan akal logik?
Maka lahirlah seorang anak luar nikah yang bakal menghadapi dunia yang penuh realiti kejam. Cemuhan, stereotype, buli hanyalah sebahagian daripadanya. Jika tidak dibesarkan dengan baik, maka berulanglah sejarah hitam keluarga kepada anak ini. Jika begitu, sampai bila baru putusnya roda kehidupan yang dipenuhi noda ini.
Tatkala si dara tidak lagi dara dan sudah berbadan dua, hati sudah lemah, badan tidak kuat, maka sekalian syaitan akan menghasut si dia untuk berbuat sesuatu di luar jangkaan. Hari ini, banyak kes menggugurkan anak, buang anak, bunuh diri dan kes-kes yang melibatkan wanita-wanita malang sebigini. Ya, malang. Aku gunakan perkataan malang untuk mereka. Kerana apa? Mereka mangsa keadaan. Mereka yang perlu menanggung beban yang lebih berat daripada pihak lelaki. Ah, lelaki senang. Mengandungkan anak dara orang, nak bertanggungjawab, kahwin. Kalau tak nak bertanggungjawab? Lari. Itulah normanya di dunia kejam ini.
Lantas wanita dibiarkan mengandung anak luar nikah yang sama sekali tidak berdosa. Berguguranlah air mata wanita ini tatkala bulan mengambang membasahi bumi, membayangkan apakah nasib bakal menimpa dirinya dan anaknya. Mulalah fikiran mustahil bermain di mindanya. "Kalaulah aku tak buat macam ni dulu"." Kalaulah masa boleh berputar balik"."Kalaulah... Kalaulah...". Bak kata abang aku dulu, kalau tu, kalau boleh, buaya pun nak mengundur.
Kuatnya kuasa Allah, tatkala melihat betapa mudahnya anak luar nikah ini dilahirkan. Mana taknya, hampir 2 ke 3 orang doktor dan 4 ke 5 nurse diperlukan untuk membantu ibu bersalin, ini? Hanya seorang ibu mampu melahirkan anak di dalam tandas, seorang diri, tanpa bantuan ibu bapa, adik-beradik, bahkan si dia tercinta. Hanya Allah dan dia. Kalau aku bayangkan benda ni, macam mana dia hadapi kesukaran bersalin tanpa bantuan manusia, seorang, aku terbayangkan betapa tabahnya wanita ini.
Namun perkara hebat ini, berubah menjadi hitam. Apabila teriakan, tangisan, gembira bercampur sedih seorang bayi saat melihat dunia Allah yang indah ini bertukar menjadi tangisan kesakitan apabila wanita yang melahirkannya ingin menamatkan riwayatnya.
Hah, hadamlah benda ni. Bayangkan, tetiba mak kau ambil pisau dan tikam kau selepas dia buat satu pengorbanan untuk kau.
Wanita. Kau indah. Kau suci. Kenapa wanita. Kenapa kau perlu kotorkan diri kau? Kenapa kau perlu menghina status perhiasan dunia yang Allah letakkan kepada kau.
Apakah kau tidak kesian kepada ibu bapa mu? Keluarga mu? Bahkan dirimu sendiri. Kau rasa kau 'couple' kau boleh elak benda maksiat. Bagitau aku, sepanjang kau 'couple' yang kau tak pernah langsung terniat nak keluar berdua-duan dengan dia, tak pernah terasa nak menyentuh dia, tak pernah nak buat sesuatu yang diharamkan dalam islam. Bila kau datang bagitau semua ni dengan yakin kat aku, masih tak mengubah hakikat yang couple itu haram.
Dunia sebelum kahwin dan selepas kahwin ni berbeza. Kau bercintalah dengan harapan dapat bercinta selepas kahwin, namun berpeganglah kepada harapan itu. Cinta haram dan cinta halal memang berbeza. Takkan ada istilah bahagia sehinggalah kau halal kepadanya.
Ingatlah wahai anak adam sekalian. Ingatlah kembali semua ilmu yang diajarkan kepadamu, batas pergaulan, jaga adab, jaga diri. Kenapa kau perlu tutup mata terhadap teguran-teguran couple di media. Apakah hati kau mati? Tak terkesan langsung? Kau sedar. Kau tahu. Kau salah. Namun kau ambil keputusan untuk membutakan mata, menutup pintu hati. Kau cuba meyakinkan diri kau, kau cuba cari secebis harapan bahawa apa kau buat ni betul. Namun, peraturan Allah itu muktamad. Kau tak boleh ubah. Kau kena akur. Namun, kau sombong.
Sebelum sebarang reaksi,
Tanyalah pada diri kau.
"Aku nak syurga, tapi aku berusaha tak untuknya?"