
FUNGSI BERIMAN DENGAN MALAIKAT
Di antara rukun iman yang ke enam ialah beriman dan percaya kepada malaikat. Sesiapa yang ragu dan tidak percaya maka terbatallah imannya.
Firman Allah:
“Sesiapa yang kufur dengan Allah, para malaikatNya, kitab-kitabNya, Rasul-rasulNya dan hari akhirat maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jauh”.
(Surah An-Nisa’ ayat 136)
Malaikat merupakan tentera Allah yang mempunyai tugas yang tertentu yang diberikan oleh Allah SWT. Malaikat hidup dalam suatu alam yang berbeza dengan kehidupan alam yang dirasai oleh manusia. Perihal keadaan dan hakikat sebenarnya malaikat itu tidak ada siapa pun yang dapat mengetahui kecuali Allah SWT sahaja.
Malaikat itu bersih daripada syahwat hayawaniyyah dan jauh daripada keinginan hawa nafsu dan perbuatan-perbuatan dosa. Malaikat juga boleh menjelma meyerupai bentuk manusia atau lain-lain bentuk yang boleh dilihat. Perkara ini jelas melalui kisah kedatangan malaikat Jibril ke tempat Siti Maryam binti Imran. Begitu juga sekumpulan malaikat yang datang ke tempat Nabi Ibrahim A.S. menjelma menyerupai manusia. Peristiwa yang sama berlaku ketika malaikat Jibril datang kepada Rasulullah SAW yang sedang duduk bersama-sama sahabatnya, lalu bertanya kepada baginda berhubung dengan Islam, Iman dan Ihsan.
Antara tugas malaikat dalam alam dunia yang mempunyai hubungan yang khusus dengan manusia ialah:
1. Malaikat sentiasa mendoakan orang-orang yang beriman agar Allah menerima taubat mereka dan mengampunkan dosa mereka dan memasukkan mereka ke dalam syurga.
2. Malaikat bersama-sama mengaminkan ucapan amin orang yang sembahyang.
3. Malaikat memohon rahmat untuk orang beriman, terutama para alim ulama’. Sabda Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya Allah, para malaikatNya dan juga penghuni langit dan bumi, sehinggakan semut dalam lubangnya dan ikan-ikan memberi selawat (berdoa) ke atas orang-orang yang mengajar kebaikan kepada manusia”.
(Riwayat At-Tirmizi)