
KASIH SAYANG RASULULLAH
Kasih sayang merupakan sifat dan pekerti Rasulullah SAW. Kelahiran baginda di bumi Makkah sebagai rahmat kepada umat ini. Baginda mengasihi sahabat-sahabatnya sedangkan sahabat-sahabatnya mengasihinya lebih dari kasih mereka terhadap bapa, anak dan saudara mara mereka. Dengan sifat kasih saying baginda dapat mendidik jiwa-jiwa yang liar dan melembutkan hati-hati yang keras.
Firman Allah SWT:
“Maka dengan sebab rahmat yang melimpah-limpah dari Allah kepadamu wahai Muhammad engkau telah bersifat lemah lembut kepada mereka sahabat-sahabat dan pengikutmu dan kalaulah engkau bersifat kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu”.
(Surah Ali-Imran ayat 159)
Baginda sangat mengasihi kanak-kanak. Abu Hurairah RA berkata: “Rasulullah SAW telah mengucup Hasan bin Ali sedangkan di sisinya ada Al-Aqra’ bin Haabis At-Tamimi. Al-Aqra’ berkata: Sesungguhnya saya mempunyai sepuluh orang anak tetapi saya tidak pernah mengucup walaupun seorang dari mereka. Rasulullah SAW memandang kepadanya dan bersabda:
“Sesiapa yang tidak mengasihi, tidak akan dikasihi”.
(Riwayat Al-Bukhari)
Kasih sayang Nabi tidak terbatas untuk manusia bahkan binatang juga tidak terkecuali. Ini dapat difahami melalui sabdanya:
“Sesungguhnya Allah mewajibkan berlaku ihsan ke atas setiap sesuatu, apabila kamu membunuh hendaklah membunuh dengan baik dan apabila kamu hendak menyembelih hendaklah menyembelih dengan baik dan hendaklah seseorang itu menajamkan mata pisaunya dan memberi kerehatan kepada sembelihannya”.
(Riwayat Muslim)
Sewaktu Rasulullah SAW menuju ke Makkah bersama-sama ribuan tentera muslimin, baginda terlihat seekor anjing betina yang sedang menyusukan anak-anaknya. Baginda merasa bimbang kalau anjing-anjing itu dipijak oleh tentera-tentera yang ramai itu dengan tidak disedari lalu baginda memerintahkan Hu’il bin Suraqahh supaya berdiri di samping anjing-anjing itu supaya anjing-anjing itu tidak diapa-apakan oleh tentera-tentera tersebut.
Begitulah betapa tingginya sifat kasih sayang Nabi. Qadi ‘Iyadh telah memetic sebahagian daripada kata-kata ulama’ bahawa di antara kelebihan Muhammad SAW ialah Allah telah mengurniakan kepadanya dua daripada namaNya iaitu Rauf dan Rahim. Firman Allah:
“Baginda bersifat lemah lembut dan pengasih kepada orang-orang mukmin”.
(Surah At-Taubah ayat 128)