top of page

KELAHIRAN RASULULLAH SAW SEBAGAI ISYARAT KEMENANGAN

Rasulullah SAW diutuskan oleh Allah SWT untuk menjadi bahtera penyelamat kepada manusia yang terkapai-kapai di lautan syirik dan kekufuran. Dilahirkan Muhammad SAW dan dibangkitkan menjadi Nabi dan Rasul untuk memberi rahmat sekalian alam.

 

“Tidak Kami utuskan engkau melainkan menjadi rahmat sekalian alam”.

  (Surah Al-Anbiya’ ayat 107)

 

Bukti bahawa baginda menjadi rahmat untuk sekalian alam adalah jelas melalui peranan Rasulullah SAW mengeluarkan mereka daripada perhambaan sesama manusia kepada perhambaan kepada Tuhan yang menjadikan mereka, daripada masyarakat yang sentiasa bertelagah kepada masyarakat yang bersatu padu, daripada masyarakat yang tidak mengerti keadilan kepada masyarakat yang mencintai dan mempertahankan keadilan.

 

Gambaran ini dapat difahami oleh penegasan yang dibuat oleh generasi tabi'en Rubie ibni Amir kepada Rustum panglima tentera Parsi yang digeruni pada masa itu:

 

“Allah SWT telah mengutuskan kami untuk mengeluarkan manusia yang dikehendaki oleh Allah daripada perhambaan sesama makhluk kepada perhambaan kepada Allah SWT, dari kezaliman agama-agama kepada keadilan islam, dari kesempitandunia kepada keluasan dunia dan akhirat.”

 

Sehubungan dengan itu, kita dituntut supaya meletakkan kecintaan kepada Rasulullah SAW mengatasi kecintaan kepada makhluk yang lain walaupun mereka itu adalah isteri kita, suami kita, anak-anak kita atau ibu bapa kita, memandangkan Rasullullahlah yang membawa islam sebagai penyebab keselamatan di dunia dan di akhirat. Sabda Rasulullah SAW:

 

“Demi diriku yang berada di bawah kekuasaanNya, tidak beriman seseorang kamu itu sehinggalah aku lebih dicintai oleh seseorang itu daripada anak, ayah dan semua manusia”.

         (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

 

Jelas sekali daripada sabda Nabi tadi, seseorang itu tidak mempunyai keimanan yang tulen dan sempurna sekiranya kecintaan kepada makhluk mengatasi kecintaan kepada Rasulullah.

bottom of page