top of page

KEPENTINGAN  AQIDAH KEPADA MASYARAKAT

Assalamualaikum , Kepada semua ummah yang berada di bumi Allah ini.  Kita sebagai  umat islam dan juga hamba  Allah yang tidak lepas daripada melakukan dosa-dosa sentisalah mengingatkan diri sesungguhnya agama yang mulia di sisi Allah adalah agama Islam.

 

Aqidah

Apa itu aqidah? Aqidah adalah kepercayaan dan keyakinan kita terhadap Allah sebagai Rabb kita serta mengamalkan semua  rukun-rukun iman. Satu hadis yang boleh kita rujuk iaitu hadis kedua daripada hadis 40 Imam Nawawi; Daripada Saiyidina 'Umar juga, r.a. beliau berkata: Ketika kami sedang duduk di sisi Rasulullah SAW pada suatu hari, tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang lelaki yang memakai pakaian yang sangat putih, berambut sangat hitam, yang tidak ternampak pada dirinya kesan-kesan tanda musafir dan tidak seorangpun dalam kalangan kami yang mengenalinya. Lalu dia duduk menghampiri Nabi SAW lalu disandarkan kedua-dua lututnya ke lutut Baginda dan meletakkan dua tapak tangannya atas dua paha Baginda seraya berkata: Wahai Muhammad! Terangkan kepadaku tentang lslam. Lalu Rasulullah SAW bersabda: lslam itu bahawa engkau naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu utusan Allah, (dan bahawa) engkau mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan haji ke BaitulLah (Mekah) sekiranya engkau berkuasa mengerjakannya. Lelaki tersebut berkata: Benarlah engkau. Maka kamipun merasa hairan kepadanya, dia yang bertanya dia pula yang membenarkannya.Dia bertanya: Terangkan kepadaku tentang lman. Baginda bersabda: (lman itu ialah) bahawa engkau percaya kepada Allah, para Malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, para Rasul-Nya, hari Qiamat dan bahawa engkau percaya kepada Qadar baik dan buruk. Lelaki itu berkata: Benarlah engkau. Dia berkata lagi:Terangkanlah kepadaku tentang Ehsan. Baginda bersabda: Ehsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya Dia melihatmu. Lelaki itu bertanya lagi: Terangkan kepadaku tentang Qiamat. Baginda bersabda: Orang yang ditanya tentang Qiamat tidaklah lebih mengetahui daripada orang yang bertanya. Lelaki itu berkata: Maka terangkanlah kepadaku tentang tanda-tandanya. Baginda bersabda: (Antara tandatandanya ialah) apabila seorang hamba perempuan melahirkan tuannya dan apabila engkau melihat orang-orang miskin yang berkaki ayam, tidak berpakaian dan papa kedana yang hanya menjadi pengembala kambing berlumba-lumba membina bangunan (iaitu bertukar menjadi kaya raya).  Kemudian lelaki itu berlalu, lalu aku terdiam sebentar. Kemudian Baginda bertanya: Wahai 'Umar! Adakah engkau tahu siapa lelaki yang bertanya itu? Aku berkata: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Baginda bersabda: Sesungguhnya dia adalah Malaikat Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajar kamu tentang agama kamu.          

 

Hadis riwayat al-lmam Muslim (Hadis riwayat Muslim, kitab al-iman, no: 9 dan 10, al-Tirmizi, kitab al-iman, no:2535, beliau berkata: hadis ini hasan shahih, al-Nasaa'ie, kitab al-iman, no: 4904, 4905, Abu Dawud, kitab al-sunnah,no:4075, Ibn Majah, kitab al-muqaddimah, no: 62 dan 63, Ahmad, musnad , no: 346).

 

RUKUN IMAN

1.      Beriman kepada Allah

2.      Beriman kepada Malaikat-Nya

3.      Beriman kepada kitab-Nya

4.      Beriman kepada Rasul-Nya

5.      Beriman kepada Hari Kiamat

6.      Beriman kepada Qada’ dan Qadar

 

KEPENTINGAN AQIDAH

Ia penting supaya kita dapat membezakan yang mana baik atau buruk untuk diri kita agar tidak terpesong dari landasan agama islam. Selain itu, dapat menghindarkan seseorang  daripada ajaran sesat yang membolehkan aqidah seseorang rosak.Aqidah juga boleh rosak melalui perkataan, percakapandan juga perbuatan.Disamping itu, dapat meneguhkan keimanan dan keyakinan seseorang kepada sifat-sifat-Nya.

 

ILMU AQIDAH TERBAHAGI KEPADA: 

1)    Ilmu tauhid

2)    Ilmu usuluddin

3)    Ilmu makrifat

4)    Ilmu kalam

5)    Ilmu aqidah.

  

Okay kita pergi satu persatu maksud setiap ilmu aqidah.

 

ILMU TAUHID

Ilmu ini menerangkan  tentang sifat-sifat Allah s.w.t yang wajib kita ketahui dan kita percaya.

 

ILMU USULUDDIN

Ilmu ini ialah kepercayaan dalam agama islam iaitu kepercayaan kepada Allah dan pesuruh-Nya.

ILMU MAKRIFAT 

Ilmu ini membahaskan perkara-perkara yang berhubung  dengan cara-cara mengenal Allah.

 

ILMU KALAM

Ilmu yang membahaskan tentang aqidah dengan dalil-dalil sebagai perlindungan daripada segala tentangan daripada pihak lawan.

 

ILMU AQIDAH       

Ilmu ini membincangkan perkara yang berhubung dengan keimanan seseorang kepada Allah..

 

KISAH-KISAH YANG BOLEH DIJADIKAN SEBAGAI TELADAN KEPADA KITA. 

1. MASYITAH (TUKANG SISIR ANAK FIRAUN)

Saya akan memberi satu contoh tentang aqidah seseorangyang  diuji pada zaman dahulu, iaitu Masyitah si tukang sisir rambut anak Firaun. Masyitah diuji saat keluarganya dicampakkan ke dalam kuali yang mengandungi minyak yang panas kerana ingkar dengan arahan Firaun supaya mengaku bahawa Firaun adalah Tuhan.Masyitah tetap teguh dengan pendiriannya iaitu Allah adalah Tuhan yang satu. Sekali lagi dia diuji apabila askar-askar itu ingin mencampak anaknya yang masih kecil ke dalam kuali tersebut. Ketika itu aqidah dia diuji kerana kasihan akan anaknya yang masih kecil yang tidak tahu akan hal itu. Tetapi dengan izin Allah si anak kecil itu boleh bercakap dan membuatkan semua orang terkejut. Si anak itu berkata; “Ibu jangan bersedih. Teruskanlah”. Dengan kata-kata itu dia semakin yakin  bahawa Allah ada bersama-samanya dan dia juga dicampak kedalam kuali tersebut. Lantas dengan peristiwa itu tempat Masyitah dan keluarganya disemadikan berbau yang amat Wangi. 

2. SUMAYYAH

Pernahkah kita mendengar nama ini? Sudah pasti pernah. Sumayyah adalah wanita  pertama yang mati syahid serta suami dan anaknya yang terkorban disebabkan diseksa oleh Abu Jahal demi mempertahankan agama Islam. Subhanallah begitu mulia aqidah mereka walaupun diuji dengan begitu berat sekali mereka tetap dengan pendiriannya untuk menegakkan agama islam. Kalau nak ceritakan tentang para sahabat baginda yang sanggup mempertahankan aqidah mereka di saat mereka diuji.tidak dapat diceritakan kerana terlalu ramai. Semoga kita tergolong di antara mereka. In Shaa Allah.

 

Aqidah kita ini sentiasa diuji oleh Allah supaya keimanan kita sentiasa berpegang teguh dengan agama Allah dan kembali kepada-Nya. Allah ada menyatakan dalam surah Al- Ankabut ayat, 2 yang bermaksud; “Adakah manusia beranggapan Kami membiarkan mereka berkata, “kami beriman, sedangkan mereka itu belum diuji?.Ini jelas menunjukkan bahawa orang yang beriman kepada Allah akan sentiasa diuji agar mereka sentiasa mendekatkan diri kepada Allah.

 

Dalam surah Al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud; “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya”. Sesungguhnya  sesuatu ujian yang Allah turunkan kepada hamba-Nya itu pasti mampu dihadapi dengan kuat.Allah tidak pernah memberi sesuatu ujian itu di luar kemampuan hambaNya. Allah yang mencipta kita sudah tentu Dia mengetahui tahap kemampuan kita. Oleh itu, jangan sesekali kita menidakkan takdir Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penyayang lagi Maha Mengasihani terhadap hamba-Nya.

 

KEPERCAYAAN YANG MENGARUT BOLEH MEROSAKKAN AQIDAH SESEORANG.

Sering kali kita terdengar ada masyarakat di  sesebuah negara  yang mengamalkan benda-benda yang mengarut seperti percaya akan tangkal yang boleh membawa tuah atau dapat memaju perniagaan mereka. Padahal, semua amalan ini sudah ditentang dalam agama kita kerana ia boleh menyebabkan aqidah seseorang terpesong. Dalam surah Az-zumar ayat 65 yang bermaksud; “ Demi sesungguhnya! Jika engkau (dan pengikut- pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalanmu, dan engkau akan tetap menjadi dari orang- orang yang rugi. Seandainya kita terlalu leka dengan dunia sehingga sanggup mengamal benda-benda yang yang boleh mempersekutukan Allah, mohonlah keampunan daripada Allah agar kita mendapat hidayah supaya  kita tidak terus lalai  dengan dunia ini yang hanya bersifat sementara dan sesungguhnya akhirat adalah bersifat kekal abadi. Selagi bumi ini tidak hancur, bertaubatlah kita kepada Allah, mohon keampunan kepada Allah kerana Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Kita hendaklah mengikut petunjuk Allah agar kita tidak akan sesat dari landasan agama kita. Dalam surah Taha ayat 123 Allah ada berfirman; “kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dari-Ku, maka sesiapa yang mengikut petunjuk-Ku itu nescaya ia tidak akan sesat dan  ia pula tidak akan menderita akan azab sengsara.” Ini menunjukkan kepada kita  bahawa petunjuk Allah melalui Al-Quran dan As-Sunnah adalah jalan yang terbaik sebagai kompas di atas muka bumi ini. Ia mengandungi perkara yang sudah berlaku, tengah berlaku dan akan berlaku. Itulah pentingnya kita membaca sambil mentadabbur maknanya(mengkaji maknanya.)

TEGASAN DALAM BERJENAKA TENTANG AQIDAH.
“Dan jika engkau bertanya kepada mereka  ( tentang ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanyalah  berbual dan bermain- main.” Katakanlah: “Patutkah nama Allah dan ayat- ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?  (surah At-taubah ayat 65-66). Dalam surah ini sudah terang lagi bersuluh bahawa gurauan atau berjenaka yang melibatkan tentang ayat-ayat suci al-quran, Rasul- Rasul dan Allah s.w.t tanpa kita sedar boleh memesongkan aqidah seseoran.Oleh itu, jagalah percakapan kita ketika kita sedang berjenaka dengan orang sekeliling kita. Sesungguhnya agama Islam bukan dipermainkan jagalah agama kita dengan baik kerana agama ini sungguh indah jika kita mengamalkannya agama islam dengan baik.

 

IMAN SESEORANG AKAN BERTAMBAH DAN BERKURANG

Apa yang dimaksudkan iman bertambah dan berkurang? Jika iman bertambah semua perkara wajib seperti solat lima waktu kita tidak lengahkan, mulut sentiasa berzikir dan beristighfar, saat sepertiga malam manusia lain diulit mimpi kita mudah untuk bangun berqiamullail kepada Allah. Pendek katanya semua perkara yang baik kita mahu lakukan. Jika iman kita menurun, semua perkara baik kita malas mahu lakukan, bisikan syaitan kita ikuti. Inilah bahayanya saat iman menurun jika kita tidak dekatkan diri kepada Allah kita akan makin lalai. Oleh itu, saat kita dapat mengesan iman makin menurun buatlah perkara yang membangkitkan iman itu kembali.Muhasabah diri dan dekatkan diri kepada Allah agar kita tidak terpesona dengan dunia yang sementara.

 

Dalam surah al-Mu’minum Rasulullah bersabda “ Telah diturunkan kepadaku  sepuluh ayat. Barang siapa yang mengamalkannya, nescaya dia akan masuk syurga.” Kemudian baginda menyebut ayat 1-10.( HR AHMAD)

1.     Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman,

2.     Iaitu kusyuk dalam solat,

3.     Dan mereka yang menjauhkan diri dari peerbuatan dan perkataan yang sia – sia;

4.     Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu);

5.     Dan mereka yang menjaga kehormatannya;

6.     Kecuali kepada isterinya atau hamba sahaja maka sesungguhnya mereka tidak tercela:-

7.      Kemudian , sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian , maka mrekalah orang-orang yang melampaui batas;

8.      Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya;

9.     Dan mereka tetap memelihara solatnya;

10. Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi

Surah Al-Mu’minum ayat 1-10

 

In shaa Allah dengan mengamalkan yang apa dituntut oleh-Nya , maka aqidah kita terjaga dengan baik. Aamiin

 

CARA- CARA UNTUK MENGELAK DARI AQIDAH TERPESONG

In shaa Allah saya akan cuba huraikan satu persatu cara kita untuk memantapkan aqidah ini sekadar kemampuan saya. Bagisaya  yang paling penting sekali adalah kita merapat hubungan kita dengan Allah.Allah adalah tempat kebergantungan kita yang paling kuat. Caranya adalah melakukan solat 5 waktu, mengeluarkan zakat, ibadah sunat dan ibadah-ibadah yang dapat memantapkan lagi aqidah kita . Dengan itu, kita akan merasa satu ketenganan yang tak dapat kita gambarkan dan juga akan berasa takut untuk melanggar perintah-Nya. Selain itu,dekatkan diri kita dengan orang-orang yang soleh, mampu membawa kita rapat dengan Allah serta dapat  menegur kita seandainya kita melakukan kesalahan yang bercanggah dengan agama Allah. Di samping itu juga,  aqidah ibu bapa juga memainkan peranan yang penting bagi membentuk aqidah anak-anak yang baik.

Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA: yang bermaksud “setiap anak  itu dilahirkan  dalam keadaan fitrah maka ibu bapanya yang mencorakkan agar anak itu menjadi Yahudi, Kristian atau Majusi(penyembah berhala)”. Dalam hadis ini sudah terang lagi bersuluh menunjukkan pentingnya ibu bapa dalam mendidik anak-anak supaya menjadi soleh dan solehah. Anak-anak akan mengikut apa yang dilakukan oleh ibu bapa sama ada baik atau pun buruk. “ Ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi”

 

Kita juga hendaklah menjaukan diri kita daripada mengunjungi tempat – tempat syirik atau khurafat. Hal ini , merupakan tempat- tempat yang membolehkan aqidah kita terpesong.

PENUTUP

Akhir sekali, kita sebagai umat islam hendaklah meningkatkan keimanan dan ketaqwaan dalam diri agar aqidah kita sentiasa berada pada landasan yang betul. Berdoalah kepada Allah agar keiman dan ketaqwaan kita tetap dengan perintah-Nya. Rasulullah menerangkan bahawa “ Setiap anak Adam pasti melakukan kesalahan dan sebaik- baik manusia yang melakukan kesalahan adalah mereka yang bertaubat”. Hadis yang dilaporkan oleh Ibnu Majah dan Tirmizi.Sesungguhnya kita hanya manusia biasa yang tidak pernah lari daripada melakukan dosa. Moga Allah mengampuni dosa-dosa kita sejak dulu, kini, dan di masa –masa akan datang.

 

“ Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.”Aamiin.

Segala salah dan silap saya  dalam artikel ini saya memohon keampunan. Sesungguhnya apa yang baik datang dari Allah manakala yang buruk datang dari diri saya sendiri.

bottom of page