
KEPIMPINAN RASULULLAH
Tidak ragu lagi bahawa Rasulullah SAW adalah contoh pemimpin terbaik sama ada pemimpin kepada keluarga, masyarakat dan negara.
Antara ciri-ciri kepimpinan baginda ialah keberanian di dalam peperangan Uhud. Apabila orang Islam tidak mematuhi perintah Rasulullah SAW, orang musyrikin telah sampai ke tempat Rasulullah SAW. Mereka telah mencederakan baginda di bahagian muka dan bibir baginda, namun baginda tetap tidak berganjak dan terus berjuang, dalam keadaan muka yang berlumuran darah baginda sempat membunuh musuh Islam yang bernama UBay Ibnu Khalaf dengan satu tikaman lembing di bahunya.
Sebagai pemimpin, Nabi bukan sekadar mengeluarkan arahan tetapi sama-sama melaksanakan arahan yang dikeluarkan, di dalam peperangan Khandaq, baginda bersama sahabat-sahabatnya membawa tanah, debu-debu menutupi wajah serta janggutnya, Baginda bersama-sama menyanyikan lagu perjuangan.
Pemimpin yang menjadi qudwah hasanah ialah pemimpin yang dapat menunjukkan bukti secara praktikal bukan sekadar bercakap sahaja.
Rasululah SAW menunjukkan contoh yang terbaik dalam melaksanakan peraturan dan undang-undang.
Kita amat-amat memerlukan ciri-ciri kepimpinan Rasulullah SAW bagi memartabatkan agama, bangsa dan negara. Justeru itu masing-masing mesti melaksanakan amanah kepimpinan , menyuburkan budaya nasihat, amal ma’ruf nahu mungkar tanpa memandang ringan terhadap gejala-gejala kerosakan dan kejahatan walaupun ianya nampak kecil, kerana kebanyakan api yang membesar itu berpunca dari bunga api yang kecil seperti kata penyair;
“Apabila kita merasa tenang dengan dosa-dosa kecil maka semestinya satu hari nanti akan berlaku dosa-dosa besar”.