top of page

Islam yang diturunkan oleh Allah SWT merupakan satu agama yang jelas, terang dan tidak ada kesamaran. Untuk itu Al-Quran diturunkan, kemudian Ar-Rasul memperincikan dan memperjelaskan lagi kandungan Al-Quran.

 

Dalam satu hadis Rasulullah SAW memperingatkan :

 

"Hendaklah kamu menjauhi perkara-perkara yang diadakan kerana setiap bida'ah adalah kesesatan."

(Riwayat At-Tirmizi)

 

Bila sahaja masuk bulan Safar kita mendapati masih ada segelintir masyarakat yang mengiyakan khurafat bulan Safar dan mandi Safar. Sebenarnya Safar merupakan antara bulan-bulan Allah yang ada keistimewaannya tersendiri, tiada sial dan tidak ada alamat atau petanda buruk.

 

Sabda Rasulullah SAW :

 

"Tiada penyakit yang merebak sendiri, tiada sialan bulan safar dan tiada sialan burung hantu."

(Riwayat Ahmad)

 

Jika berlaku kepercayaan yang karut seperti ini akan melemahkan minda umat. Lebih-lebih lagi dibimbangi akan berjangkit kepada penyelewengan aqidah dan penolakan ibadah oleh Allah SWT.

 

Usahlah dikembangkan sesuatu yang tidak diakui oleh Rasulullah SAW seperti yang disebut dalam hadis yang sahih. Oleh itu, umat Islam mesti dibimbing dan sanggup menerima bimbingan guru-guru kita yang ikhlas untuk membawa kita ke arah keselamatan dunia dan akhirat jika tidak akan wujud dalam masyarakat seperti :

 

a. Masyarakat kebendaan.

 

b. Masyarakat yang hidup di dalam khurafat, ajaran sesat dan penyelewengan aqidah.

 

c. Masyarakat yang menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah dan mengharamkan apa yang halal.

 

Untuk menjauhkan khurafat dan menghapuskannya, masyarakat mestilah mendekati ilmu yang terasnya adalah Al-Quran dan As-Sunnah dan mempunyai kesedaran yang tinggi untuk memartabatkan Islam.

bottom of page