KORBAN PERASAAN KERANA DAKWAH
Perbuatan keji dan mungkar yang berlaku dihadapan mata saban hari kadang-kadang merosakkan jiwa dan pegangan seorang Daie. Mana tidaknya, ketika manusia seluruhnya melepak sehingga tengah malam, Daie berada di rumah untuk menelaah buku-buku agama. Ketika manusia seluruhnya bertepuk-tampar diantara lelaki dan perempuan, Daie berdiri di penjuru menjaga diri dari dikotori. Ketika manusia seluruhnya menjadikan perkara lucah sebagai bahan bualan, Daie lari dari masuk ke dalam perbincangan. Tepatlah sabda Nabi SAW: “Islam itu datang dalam keadaan asing, dan akan kembali asing, maka berbahagialah mereka yang asing itu” (HR. Muslim no.145). Kerana asingnya kehidupan dan disiplin hidup seorang Daie, menjadikannya dijauhi oleh persekitaran yang tidak seasing hidupnya. Sampaikan tahap Daie ini dibenci dan dicaci kerana dirinya seperti mereka yang sukar didekati. Melalui jalan sukar inilah, Daie mendapat tarbiyyah secara langsung dari Allah. Melintasi jalan seperti ini, yang memerlukan kepada kekuatan jiwa dan perasaan seorang Daie untuk menghadapinya. Hakikatnya, kesukaran seperti inilah yang membentuk diri seorang Daie yang cemerlang.
Kau memohon Allah memberikan kekuatan, Allah memberikan kau kelemahan untuk atasinya.
Kau memohon Allah memberikan kefahaman, Allah memberikan kau persoalan untuk dirungkai.
Ujian demi ujian Allah berikan adalah untuk menjadikan kita lebih kental sebagai langkah persediaan sebelum kita berada di tahap yang lebih mencabar. Rasulullah jauh lebih seksa berbanding Daie hari ini. Bayangkan sahaja, bagaimana Rasulullah membina tapak asas Islam pada zaman kehidupannya. Ketika itu islam masih belum wujud. Masyarakat belum mengenali dan mengetahui tentang ajaran Islam. Tiba-tiba, keluar dari celahan keruhan manusia seorang Nabi yang menyeru kepada Allah tuhan yang ghaib. Ahli sihir antara gelaran Rasulullah terima selepas Baginda menerima wahyu. Sedangkan, sebelum itu Rasulullah dihormati oleh golongan Quraisy dengan mendapat gelaran Al-Amin (Jujur).
Tetapi setelah menerima wahyu dari Allah, manusia yang dihormati tersebut dicaci dan dihina. Sirah ini menjadikan kita memahami sunnatullah yang Allah sudah tetapkan kepada para Daie. Apabila membawa islam, kita akan dihina dan diperlekehkan. Sepatutnya Daie lebih risau dan insaf apabila dalam keadaannya membawa islam, Daie menerima pelbagai pujian dan kesenangan. Hinaan dan cacian inilah sebenarnya kayu ukur di dalam dakwah. Semakin benar sesuatu dakwah yang disampaikan, semakin kuatlah ancaman dan tekanan.
“Orang mukmin sentiasa berada di ambang 5 dugaan yang susah:
(1) Mukmin yang dengki padanya,
(2) Munafiq yang benci kepadanya,
(3) Kafir yang memeranginya,
(4) Syaitan yang menyesatkannya,
(5) Nafsu yang sering bertarung untuk mengalahkannya”
(Hadith ini telah ditakhrijkan oleh Abu Bakar Ibnu Lal dari hadith Anas dalam tajuk; “Akhlak yang luhur”)
“Selangkah Memasyarakatkan Islam”