top of page

Lapangan Perjuangan Masih Luas

Seminggu yang lalu ketika mahasiswa sedang selesa bercuti di kampung halaman masing-masing, Allah telah memberi keizinan buat diri yang kerdil ini untuk menziarahi negara seberang iaitu Indonesia. Sesampainya di sana kami telah disambut oleh 2 orang mahasiswa dari Universiti Indonesia yang memperkenalkan diri mereka sebagai Ismi dan Saiful. Kami kemudiannya dibawa untuk menginap di penginapan Wisma Makara yang menjadi rumah kami di negara ini selama seminggu. Sejujurnya, tiada perasaan lain yang mengisi hati ini kecuali semangat yang berkobar-kobar untuk merasakan sendiri bagaimana kehidupan penduduk di negara yang diiktiraf mempunyai bilangan muslim paling ramai di dunia kini.

 

Ketika itu hati ini mengimbau kembali lafaz  Allah yang mulia di dalam Al-Quran :

 

“Dia lah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah…”

(Al-Mulk: 15)

 

Melangkah kaki ke bumi Jakarta yang sarat dengan manusia di setiap ruang yang ada menemukan aku dengan pelbagai acara dan festival yang sedang giat diadakan disana. Namun, ketika sedang asyik berjalan melihat keindahan kota yang terkenal ini, seketika kaki aku seperti terkedu apabila menyaksikan satu persembahan nyanyian yang rancak berlangsung di tepi sebuah pasaraya. Dari jauh semuanya kelihatan seperti sebuah persembahan nyanyian yang biasa tetapi apabila menyedari lagu yang dinyanyikan ketika itu adalah sebuah lagu dari Malaysia, ia membuat hati ini cukup tertarik untuk melihat dengan lebih dekat siapakah penyanyinya. Berjalan menyelusuri orang ramai dengan penuh kesusahan akhirnya aku berjaya sampai di kawasan berhampiran dengan pentas. Melihat penyanyinya dari jauh, sekali lagi aku terkedu apabila aku menyedari penyanyinya itu ialah seorang lelaki yang berpakaian seperti wanita.

 

Dengan langkah yang perlahan membawa hati yang serba salah, aku berjalan pergi meninggalkan kawasan itu untuk pulang ke Wisma Makara. Berseorangan di dalam bilik pada malam itu memberiku peluang untuk merenungi kembali apa yang telah aku lihat sebentar tadi. Ya, ketika itu aku sedar akan sebuah hakikat, Indonesia adalah sebuah negara republik dengan rakyatnya tidak mempunyai masalah atau halangan untuk  menerima golongan LGBT yang selalunya mengundang pandangan yang tidak enak di Malaysia.

 

Dari Ibnu Abbas ra berkata, 

“Rasulullah ﷺ  melaknat orang lelaki yang menyerupai wanita dan (melaknat) para wanita yang menyerupai lelaki.”

 (HR. Bukhari juz 7, hal. 55)

Fokus perkongsian yang ingin aku sampaikan bukan semata-mata merujuk kepada golongan LGBT tetapi lebih kepada bagaimana pemikiran generasi kini semakin menerima pemikiran logik semata-mata dan tidak lagi menganggap al-Quran dan hadis sebagai panduan hidup yang sebenar. Ramai dari kita saat ini hanya melihat 2 sumber yang suci ini hanya untuk mereka yang sudah tua atau pun mereka yang berfikiran ‘kolot’. Lantaran itu tidak hairanlah apabila aku mengutarakan perkara ini kepada sahabat-sahabatku disana kebanyakan dari mereka semuanya bersetuju bahawa golongan LGBT harus dibenarkan di semua negara termasuklah Malaysia.

 

Kalau direnung melalui ajaran Islam, kita dianjurkan untuk tidak membenci individu itu sendiri tetapi kita dituntut agar berusaha membanteras dan menolak  perbuatan buruk yang mereka lakukan. Antara kaedah yang terbaik bagi menghalang perkara buruk berleluasa adalah menguatkuasakan larangan melakukan atau mempamerkan perbuatan tersebut. Nah, seandainya kelulusan golongan seperti LGBT ini dibenarkan di Malaysia, bukankah secara tidak langsung ia seolah-olah menunjukkan Malaysia  ‘membenarkan’ perbuatan ini berterusan?

 

Lalu cuba kita tanya diri kita kembali, adakah kita sudah lupa akan kaum Luth yang telah Allah hancurkan suatu ketika dahulu? Lupakah kita akan punca Allah menerbalikkan negeri mereka sehingga sekarang kawasan itu menjadi Laut Mati?

 

Oleh itu, melihatkan negara Malaysia yang majoriti umat Islam nya masih lagi menolak hal seperti LGBT dan lain-lain, kita sebagai dai’e semestinya perlu meningkatkan lagi pelbagai usaha agar penularan pemikiran akal logik yang diuar-uarkan oleh media barat tidak berjaya menembusi benteng pertahanan hati orang Islam disini.

 

Isu seperti LGBT hanyalah satu dari pelbagai cubaan untuk mempengaruhi fikiran anak muda agar mula menolak kitab suci sebagai landasan kehidupan. Fokus utama seorang dai’e itu harus universal atau menyeluruh kerana faktor yang melemahkan aqidah itu bukannya satu tapi beribu. Hanya dengan ilmu yang benar, usaha yang gigih serta penyatuan sesama kita barulah umat Islam dapat dilindungi dari anasir-anasir penyelewangan pemikiran yang sering hadir di media massa. Berbekalkan dengan 3 perkara ini, in shaa Allah masa depan umat Islam bukan sahaja di Malaysia bah kan di seluruh dunia akan dapat dijaga dengan penuh keberkatan dari-Nya.

 

Akhir kata, kalau bukan kita yang menjadi tentera untuk menjaga agama ini maka siapa lagi?

bottom of page