
PERSAHABATAN
Persahabatan merupakan satu nikmat yang Allah SWT limpahkan kepada hati-hati yang ikhlas membina persahabatan semata-mata kerana Alah SWT. Kesan dari itu maka timbullah perasaan kasih sayang, hormat menghormati dan saling percaya mempercayai antara satu sama lain.
Sesungguhnya dasar dan teras kepada persahabatan kita sebagai orang Islam ialah iman. Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara”.
(SURAH AL-HUJURAT AYAT 10)
Lantaran itulah kita dapat melihat dengan jelas dalam sejarah Islam bagaimana generasi awal Islam yang dididik oleh Rasulullah SAW membina persahabatan mereka. Kita dapat melihat bagaimana penduduk asal Madinah yang dikenali dengan golongan Ansar menerima saudara-saudara mereka dari Makkah yang dikenali dengan golongan Muhajirin. Mereka membuka hati dan rumah mereka untuk golongan Muhajirin, sedangkan tiada kaitan darah antara mereka dan tidak pula mereka kenal-mengenali antara satu sama lain sebelumnya. Subhanallah.
Itulah kesan keimanan yang menyerap ke seluruh hati dan jiwa mereka, bukannya kerana kepentingan tertentu, kerana nilai persahabatan yang sebenar merupakan suatu perkara yang sangan mahal, sesuatu yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit dan emas perak.
Firman Allah SWT:
“Dan Dialah (Allah) yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman) walaupun kamu membelanjakan semua kekayaan yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati-hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati-hati mereka. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”.
(SURAH AL-ANFAL AYAT 63)
Bagaimana pula dengan kita? Adakah kita membina persahabatan dengan sahabat-sahabat kita ikhlas kerana Allah? Atau kita bersahabat bila persahabatan itu dapat memberi sesuatu kepada kita? Maka apabila kia tidak mendapat apa-apa keuntungan kebendaan kita mula mengundur diri dan mendiamkan diri !!
Mudah-mudahan Allah SWT menjauhkan kita berperangai seperti itu. Rasulullah SAW ada menceritakan tentang kedudukan orang yang membina persahabatan kerana Allah di akhirat nanti melalui sabdanya:
“Sesungguhnya di kalangan hamba-hamba Allah ada kelompok manusia yang mereka itu bukan nabi-nabi dan bukan pula orang-orang yang mati syahid. Para nabi dan para syuhada merasa cemburu melihat kedudukan kelompok itu di sisi Allah. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, siapakah mereka itu? Rasulullah menjawab: Mereka merupakan satu kaum yang berkasih sayang kerana Allah tanpa ada pertalian darah, juga tidak ada harta yang diambil, demi Allah muka mereka sungguh berseri-seri, mereka berada di dalam nur Allah, mereka tidak takut ketika manusia takut dan tidak bersedih ketika manusia bersedih”.
(RIWAYAT ABU DAUD)
Kemudian Baginda membaca firman Allah SWT:
“Ketahuilah sesungguhnya wali-wali Allah itu tidak ada ketakutan buat mereka dan tidak pula mereka bersedih”.
(SURAH YUNUS AYAT 62)
Jelas sekali berapa tingginya kedudukan kita di sisi Allah jika persahabatan itu dibina kerana Allah bagi mencari keredhaan Allah SWT. Maka sama-samalah kita pupuk persahabatan atas nilai iman, sama-sama menjaga persahabatan supaya tidak putus di tengah jalan. Ya Allah, Ya Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami sahabat-sahabat yang dapat membimbing dan bersama-sama kami dalam mentaati perintahMu… amin ya Rabbal alamin.