top of page

QIYAMULLAIL

Mendirikan malam dengan melakukan ibadat atau qiyamullail merupakan sifat orang-orang yang bertaqwa dan taat kepada Allah SWT.

 

Firman Allah SWT:

 

“Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja masa dari waktu malam untuk mereka tidur dan pada waktu sahur (akhir malam sebelum fajar) pula mereka selalu beristighfar kepada Allah memohon ampun”.

(Surah Az-Dzaariyat ayat 17-18)

 

Waktu malam merupakan waktu yang paling tenang yang dapat seorang hamba menghampirkan diri kepada Allah SWT dengan bersembahyang, berdoa, berzikir dan bermunajat kepada Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW:

 

“Hendaklah kamu melakukan qiyamullail kerana ianya merupakan jalan orang-orang soleh sebelum kamu, ianya menghampirkan diri kepada Tuhan kamu dan mengampunkan segala dosa serta menegah dari melakukan dosa”.

(Riwayat At-Tirmizi)

 

Bagi memudahkan kita bangun pada waktu malam maka wajar diperhatikan beberapa perkara berikut:

 

1. Jangan makan terlalu banyak.

2. Jangan terlalu meletihkan diri dengan membuat kerja-kerja yang berat pada siang hari.

3. Tidur sedikit pada waktu siang.

4. Meninggalkan segala bentuk maksiat kepada Allah SWT.

5. Memastikan hati kita hati yang bersih.

6. Mengetahui kelebihan qiyamullail.

7. Meyakini bahawa amalan tersebut sebagai membuktikan tanda kasih kepada Allah.

 

Antara jaminan Rasulullah SAW terhadap orang yang melakukan qiyamullail ialah sabdanya:

 

“Wahai manusia, sebarkan salam dan berilah makanan dan sembahyanglah pada waktu malam dalam keadaan manusia tidur nescaya kamu dapat memasuki syurga Tuhan kamu yang sejahtera”.

(Riwayat At-Tirmizi)

 

Marilah sama-sama kita menjadikan qiyamullail ini sebahagian daripada kehidupan kita.

bottom of page