top of page

Ringkasan kitab Tanbihul Ghafilin

Mukadimah.

Kitab Tanbihul Ghafilin ( Peringatan bagi yang lupa ) ini disusun oleh Abu Laits as-samarqandi.  Ringkasan ini ditulis bagi memudahkan proses pemahaman dan pengajaran pada masa akan datang. Segala kekurangan didalam penulisan ini sila hubungi saya di talian 014-5473394.

 

Penulisan ini pada asalnya adalah untuk kegunaan saya sahaja. Oleh yang demikian, diharapkan setiap pengubahan yang tidak bercanggah dengan syariah Islam  mampu diterima dengan hati yang terbuka.

 

Firman-NYA yang bermaksud :

 

Ajaklah kepada jalan Tuhanmu dengan hikmat bijaksana dan nasihat yang baik, dan debatlah mereka dengan cara yang lebih baik.

( An-Nahl 125 )

 

Diharapkan segala pengajaran yang dipetik mampu digunakan untuk membentuk peribadi yang lebih mulia serta dilaksanakan sebagai suatu ibadah dalam kehidupan seharian. Dan sebarkanlah setiap ilmu yang telah terpahat didalam dada agar ia mampu memberi manfaat kepada saudara-saudara yang lain serta menjadi saham kepada kita sehingga ke hari kiamat kelak.

 

Allah telah menyuruh kita dalam ayat :

 

Jadilah kamu orang-orang yang beramal melaksanakan apa yang ajarkan kepada orang-orang, dan apa yang kamu pelajari.

( Ali Imran 79 )

 

Moga apa yang kita laksanakan mampu memupuk sifat taqwa yang teguh didalam hati agar kita lebih takut untuk  melakukan sesuatu yang hanya akan membawa kerugian ketika bertemu dengan-NYA kelak.

 

Dalam ayat :

 

Sesungguhnya yang benar-benar takut pada Allah dari hamba ialah orang-orang alim.

( Fatir 28 )

 

Apabila kefahaman ilmu telah menyinari hati, cahaya itulah yang akan menjadi benteng yang menahan kita dari mengerjakan sesuatu yang telah kita ketahui kesannya dalam hubungan antara kita dan Allah. Sungguh, mereka  yang mendahulukan redha Allah berbanding redha manusia, mereka itulah golongan yang akan mendapat nikmat kesenangan berpanjangan kelak.

 

Gunakanlah kelapangan masa yang Allah kurniakan sebagai jambatan yang membawa kita selangkah kepada keredhaan-NYA dan ambillah meskipun sesaat untuk menoleh dan berfikir akan sesuau yang telah kita ketahui akan kesahihanya.

 

Nabi saw bersabda :

 

Berfikir sesaat lebih baik dari ibadah satu tahun

 

Ibadah setahun yang dikerjakan tanpa difikirkan apakah hikmat yang terkandung didalamnya sudah pasti tidak akan membuka jalan untuk mengubah akhlak dan budi pekerti kepada yang lebih baik.

 

Perhatikanlah akan sejarah umat islam dan ambillah kisah-kisah mereka sebagai pengajaran dalam usaha untuk mengubah diri,keluarga,masyarakat, negara dan dunia kearah yang lebih baik.

 

Kepada Allah kita memohon taufiq semoga dapat berbuat segala kebaikan dan mencapai keberkatan yang sebesar-besarnya. Sungguh Allah maha pemberi dan maha Kuasa.

 

 

Jilid 1

 

BAB : IKHLAS ( Bersih hati dari segala matlamat selain keredhaan Allah )

 

Nabi saw bersabda :

 

Yang sangat saya khuatirkan keatas kamu ialah syirik yang terkecil. Sahabat berkata : Ya Rasulullah apakan syirik yang terkecil itu ? jawabnya : Riya’. Pada hari pembalasan kelak Allah berkata pada mereka: Pergilah kamu kepada orang-orang yang dahulu kamu beramal kerana mereka di dunia, lihatlah disana kalau-kalau kamu mendapatkan kebaikan dari mereka.

 

Riya’ ialah beramal untuk dilihat orang serta ingin mendapatkan pujian manusia melalui kelakuannya itu.

 

Abu Laits berkata :  Dikatakan pada mereka sedemikian itu, kerana amal perbuatan mereka didunia secara tipuan, maka dibalas pula demikian.

 

Firman-NYA :

 

Allah membalas cara tipuan mereka itu dan membatalkan semua amal perbuatan mereka itu

 

Hal ini kerana amal kebaikan yang dilakukan di dunia itu bukan dilakukan kerana Allah maka Allah tidak bertanggungjawab untuk membalas segala kebaikan yang mereka lakukan itu. Oleh itu, Allah berlepas tangan darinya.

 

Dalam satu hadith qudsi yang menjadi dalil bahawa Allah tidak menerima amal kecuali yang ikhlas kerana-NYA, Allah befirman :

 

Akulah yang terkaya dari semua sekutu, Aku tidak berhajat kepada amal yang dipersekutukan yang lain-lain, maka siapa beramal lalu mempersekutukan kepada lain-lain-KU, maka Aku lepas bebas dari amal itu.

 

Allah befirman dalam surah Al-Isra ayat 18 dan 19 :

 

Siapa yang menginginkan dunia kerana amalnya, Kami berikan kepadanya dari kekayaan dunia bagi siapa kami kehendaki kebinasaannya, kemudian kami masukkan ia ke dalam neraka jahannam sebagai seorang terhina dan terusir jauh dari rahmat Allah (18) Dan siapa yang menginginkan akhirat dan berusaha dengan  sungguh-sungguh  dan ikhlas, dan disertai iman, maka usaha amal mereka itulah yang terpuji ( diterima ) (19)

 

 

Jelas dari ayat ini, sesiapa yang beramal kerana Allah maka amalnya itu akan berguna baginya kelak dan barangsiapa yang beramal kerana selain dari Allah, amalnya itu tidak lain hanyalah penat lelah sahaja.

 

Berhati-hatilah kerana di hari kiamat kelak :

 

Allah befirman :

 

Dan kami periksa semua amal perbuatan mereka, lalu kami jadikan debu yang berhamburan.

( Al-Furqan :23 )

 

Mereka yang benar-benar ikhlas melakukan suatu ibadah kerana Allah, hatinya tidak akan mempunyai keinginan agar amalnya itu diketahui umum dan meskipun ia diketahui umum maka akan bertambah rasa rendah diri di dalam hatinya.

 

Golongan yang ikhlas beribadah lalu diketahui umum akan amalnya itu maka baginya pahala rahsia dan terang ( berdasarkan hadis nabi saw )

 

Keuntungan yang berganda pula bagi mereka yang melakukan suatu kebaikan lalu dicontohi pula perbuatan mereka itu dikhabarkan baginda saw iaitu :

 

Siapa yang memberi contoh kebaikan, maka ia mendapat pahala dan pahala orang yang meniru perbuatannya hingga hari kiamat, dan siapa yang memberi contoh kejahatan, maka ia mendapat dosa dan dosa orang-orang yang meniru perbuatannya hingga hari kiamat .

 

Namun, apabila bercerita tentang soal ikhlas, ia adalah soal hati . Soal hati adalah sesuatu yang amat rahsia dan hanya diketahui oleh Allah. Ia tidak diketahui meskipun oleh para malaikat. Lebih baik untuk kita mengerjakan amal ikhlas dalam kuantiti yang sedikit berbanding mengerjakan amal yang banyak namun tiada keikhlasan didalamnya . Contohnya, seorang hartawan lebih baik baginya bersedekah 30 sen dengan hati yang ikhlas berbanding RM 50 000 namun hatinya hanya menginginkan pujian ramai.

 

3 golongan pertama yang dibakar didalam api neraka ialah mereka yang mengerti al-quran namun beramal hanya kerana ingin disebut qari’  ahli dalam al-quran, kedua orang yang mati fisabilillah namun tujuannya adalah mahu disebut sebagai pahlawan dan ketiga ialah mereka yang kaya namun dia bersedekah hanya kerana ingin disebut dermawan.

 

Orang yang ikhlas ialah orang yang menyembunyikan perbuatan kebaikannya sebagaimana menyembunyikan kejahatannya.

 

Di hari kiamat kelak, akan ada segolongan manusia yang dibawa ke syurga dan apabila ia telah melihat dan merasakan bau harumnya, diperintahkan baginya untuk dijauhkan dari syurga dan apabila ditanya kepada Allah akan mengapakah mereka diperlakukan sedemikian.

 

 

 

 Allah menjawab :

 

Sengaja aku berbuat itu kepada kamu, kamu dahulu bila sendirian berbuat dosa-dosa besar, dan bila di muka orang-orang berlagak alim sopan dan taat, kamu hanya riya’ ,memperlihatkan kebaikan kepada manusia, dan tidak kepada-KU, kamu mengagungkan orang dan tidak mengagungkan  Aku, maka kini Aku merasakan kepada kamu kepedihan seksa-KU, disamping Aku haramkan atas kamu kebesaran pahala-KU.

 

Tanda orang yang riya’ itu empat ( Abu Thalib ra ) :

  • Malas jika sendirian

  • Tangkas dimuka orang

  • Menambah amalnya apabila dipuji

  • Mengurangi amalnya apabila dicela

 

3 benteng amal ( Syaqiq Bin Ibrahim ) :

  • Harus berasa amal itu hidayat dan taufiq dari Allah

  • Harus mengharap redha Allah

  • Harus mengharapkan pahala dari Allah

 

4 perkara yang menyelamatkan amal :

  • Ilmu pengetahuan sebab amal tanpa ilmu lebih banyak salahnya.

  • Niat sebab tiap amal tergantung pada niatnya.

  • Sabar supaya amal itu dilakukan dengan lebih sempurna

  • Ikhlas sebab amal tidak diterima tanpa keikhlasan.

 

Apabila hati seorang hamba itu khusyuk dan ikhlas dalam mengerjakan amal dengan bersungguh-sungguh maka Allah bukan sahaja akan mencintainya malah Allah akan menghadapkan hati orang-orang beriman sehingga kasih dan sayang kepadanya.

 

Nabi saw bersabda :

 

Sesungguhnya Allah apabila cinta pada seseorang hamba berkata pada jibril : sesungguhnya Aku kasih kepada fulan, maka engkau kasih kepadanya, lalu jibril berkata kepada semua penduduk langit : sesungguhnya Tuhanmu kasih kepada fulan, maka kamu harus kasih kepadanya, setelah dikasihi oleh penduduk langit, maka disebarkan rasa kasih di atas bumi, dan sebaliknya jika Allah murka ( benci ) pada seseorang hamba, demikian juga adanya.

 

 

Ahli kebaikan antara satu sama lain berpesan 3 perkara :

  • Siapa yang beramal untuk akhirat, maka Allah akan mencukupkan urusan dunianya.

  • Siapa yang memperbaiki hubungan dengan Allah maka memperbaiki hubungannya sesama manusia.

  • Siapa yang memperbaiki hatinya maka Allah akan memperbaiki zahirnya.

 

Apabila Allah ingin membinasakan seseorang, dihukum fulan dengan 3 perkara :

  • Diberi ilmu tanpa amal

  • Diberi bersahabat dengan orang-orang soleh tapi tidak mengikut jejak mereka.

  • Diberi jalan untuk berbuat taat tapi tidak ikhlas.

 

Wahai saudaraku, lihat dan renungilah hati dan amalmu selama ini. Soal hati itu sememangnya rumit namun usahalah semampumu untuk memperbaiki segala kelemahan yang engkau temui padanya. Janganlah biarkan dirimu kelak dipanggil : hai kafir , hai lancing, hai penipu dan hai orang yang rugi, kerana semua amalmu dikerjakan dengan riya’.

 

Andaikan suatu kebaikan yang engkau lakukan dulu itu dengan riya’, janganlah bersedih hati kerana mungkin sahaja orang yang mencotohi perbuatanmu itu ikhlas kerana Allah dan dengan izin-NYA kamu juga akan mendapat bahagianmu kelak. Berusahalah sedayamu dan janganlah berputus asa dari mencuba. Keikhlasan itu adalah sesuatu yang mampu dipupuk dengan usaha yang berterusan.

 

 

BAB 2: BERATNYA MAUT DAN KENGERIANNYA

 

Abu Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Anas bin Malik r.a. berkata nabi saw :

 

Siapa yang suka bertemu kepada Allah, maka Allah suka menerimanya dan siapa yang tidak suka bertemu kepada Allah, Allah juga tidak suka menerimanya.

 

 Hadis ini diterangkan nabi saw bahawa ia menceritakan perihal seseorang diambang kematian.

 

Seorang mukmin apabila diambang sakaratulmaut, dia bakal mendapat khabar gembira bahawa Allah meredhainya dan Allah akan menganugerahkan syurga buatnya. Disebabkan itu, lebih gembira buatnya untuk segera mati dan bertemu Tuhannya dari dilanjutkan umurnya. Keadaan yang berbeza buat si kafir, di saat melihat seksa Allah yang bakal menimpanya. Dia akan menangis dan enggan  mati kerana risaukan akan nasibnya nanti.

 

Dalam suatu kisah Baginda saw menceritakan tentang sekumpulan bani isra’il yang bersembahyang dan berdoa di suatu kawasan perkuburan agar dibangkitkan seseorang untuk menceritakan tentang keadaan ketika mati. Setelah selesai maka dengan izin Allah, tiba-tiba ada orang telah mengeluarkan kepalanya dari kuburan dan bertanya :

 

“ Hai kaum apakah maksudnya, demi Allah saya telah mti sejak 90 tahun, maka hingga kini belum juga hilang rasa pedihnya mati, kerana itu berdoalah kamu kepada Allah untuk mengembalikan aku sebagaimana tadi “

 

Lalu nabi saw bersabda : Padahal orang itu di antara kedua matanya ada tanda bekas sujud.

 

Seorang individu yang bijak akan selalu mempersiapkan dirinya dengan mengerjakan kebaikan dan meninggalkan maksiat untuk menghadapi saat kematian pada bila-bila masa sahaja kerana ajal seseorang itu adalah suatu misteri yang hanya diketahui Allah.

 

Berusahalah dijalan Allah meskipun mendapat pelbagai rintangan kerana mungkin saja ia menjadi asbab untuk Allah menganugerahkan nikmat hidayah kepada kita.

 

Firman-NYA :

 

“ maka siapa yang dikehendaki mendapat hidayah, dilapangkan dadanya untuk menerima Islam, dan siapa yang dikehendaki oleh Allah kesesatan maka  menjadikan dadanya sempit sukar, bagaikan akan naik ke langit “

 

 

Seseorang yang dimasukkan nur islam di dalam dadanya, akan bencilah dia untuk pergi ke tempat-tempat maksiat dan akan lebih gemar dirinya untuk ke tempat yang diredhai-NYA. Tiap kali dia mendekati sesuatu yang bercanggah dengan suruhan Allah, hatinya akan bergetar seolah-olah memberi amaran agar menjauhkan diri dari perkara tersebut. Itulah keadaan yang menunjukkan hatinya telah disinari cahaya hidayah Allah.

 

Untuk mendapatkan cahaya suci ini, tidak lain memerlukan usaha yang istiqamah hatta ia hanyalah suatu ibadah yang kecil. Kerjakanlah kebaikan yang telintas di benak fikiran selagi Allah masih membuka pintu peluang kepada kita.

 

Nabi Muhammad saw bersabda :

 

Pergunakanlah lima sebelum tibanya lima. Mudamu sebelum tuamu, dan sihat sebelum sakit, dan longgarmu sebelum sibuk, dan kayamu sebelum kekurangan ( kemiskinan ), dan hidupmu sebelum matimu.

 

Jika kehidupan hanya disibukkan dengan mengejar hiburan ke sana ke mari, tanyalah diri. Sampai bilakah aku mampu terus begini ? adakah begini pengakhiranku ? hanya mengejar redha diriku dan bukan redha Allah.

 

Pengakhiran itu suatu yang pasti. Cuma waktunya menjadi misteri. Andai pun kita kehilangan seseorang yang amat di cintai, pujuklah hati kerana itulah waktu yang Allah tetapkan buatnya. Relakanlah pemergiannya dan jangan diratapi kematiannya. Doakanlah dia dan persiapkan lah diri kerana masa kita untuk kembali pada-NYA juga hanya akan semakin menghampiri.

 

Kata nabi saw, seandainya kita banyak mengingati mati nescaya akan kuranglah tawa dan banyak menangis . Lihatlah sahabat nabi saw Sufyan At-Tsauri, jika beliau ingat akan mati, maka ia tidak dapat berbuat apa-apa sampai beberapa hari, bahkan jika ditanya hanya akan menjawab : tidak tahu . itu keadaan sahabat, kita ?

 

Nabi Muhammad saw bersabda :

 

Andaikan binatang-binatang itu mengetahui tentang mati sebagaimana yang kamu ketahui nescaya kamu tidak dapat makan daging binatang yang gemuk selamanya.

 

Siapa yang mengingati mati dimuliakan dengan ( Abu Hamid Allafah ) :

  • Segera bertaubat

  • Menerima rezeki yang diberikan-NYA dengan redha

  • Tangkas beribadah

 

 

Siapa yang lupa akan mati akan terkena :

  • Menunda-nunda taubat

  • Tamak dalam rezeki

  • Malas beribadah

 

Sam bin nuh a.s ketika dihidupkan kembali dengan izin Allah oleh nabi isa a.s setelah mati mengatakan bahawa mesikipun dia telah meninggalkan dunia ini selama 4000 tahun, dia tetap masih merasakan pedihnya maut.Kematian itu bukanlah suatu yang harus ditakuti oleh seorang mukmin kerana tiada seorang mukmin yang mati akan meminta untuk dihidupkan kembali kecuali orang yang mati syahid.

 

Seharusnya kita yang bakal menjadi jenazah ini berfikir dan sedar akan hakikat kematian  yang telah dikhabarkan nabi saw kepada kita dan tanda orang yang sedar itu ialah :

  • Mengatur urusan dunia dengan tenang dan berasa masih banyak waktu.

  • Memperhatikan urusan akhirat dengan cermat kerana berasa waktunya semakin mendesak dan tidak dapat ditunda.

  • Mengatur urusan agama dengan rajin mencari ilmu.

  • Bergaul dengan mereka yang saling menasihati dan sabar

 

Jangan lupa pesanan Allah :

 

“ engkau akan mati dan mereka juga akan mati “

( Az-Zumar : 30 )

 

Dan firman Allah :

 

“ katakanlah : Tidak akan berguna bagimu lari menghindarkan maut, jika kamu lari dari mati atau perang. Kerana demikian keadaanya, maka kewajipan seorang muslim harus siap-siap benar untuk maut sebelum tibanya “

( Al-Ahzab : 16 )

 

Adakah diri sudah bersedia ? tanyalah hati.

 

Firman Allah :

 

“ Inginkanlah mati jika engkau benar-benar dalam imanmu “

( Al-Baqarah : 94 )

 

“ Dan mereka tidak akan ingin mati kerana mengetahui amal kejahatan dirinya. “

( Al-Baqarah: 95 )

 

 

 

Allah menjelaskan dalam 2 ayat ini bahawa mereka yang benar-benar beriman dan ikhlas kepada Allah tidak akan gentar menghadapi maut malah merinduinya. Sebaliknya orang yang munafik,  dia akan berlari dari maut kerana teringatkan dosa-dosa yang pernah dikerjakannya.

 

Sabda nabi saw : mati itu bagaikan kenderaan seorang mukmin.

 

Ibn Mas’ud berkata : nabi saw ketika ditanya :

 

“ siapakah mukmin yang utama ? Jawab nabi saw : yang terbaik budi akhlaknya. Dan mukmin manakah yang terkaya ? jawab nabi saw : yang banyak ingat mati, dan baik persediannya.

 

Sabda Baginda saw :

 

“ orang yang sempurna akal ialah yang selalu bermuhasabah atas dirinya beramal untuk bekal sesudah mati. Sedang orang yang bodoh ialah yang selalu menurutkan hawa nafsunya, dan mengharap keampunan Allah “

 

Orang yang bodoh ini dipanggil sedemikian kerana dia tidak berusaha untuk melakukan sesuatu yang dapat membawa keredhaan Allah kepada dirinya dan hanya berusaha dalam maksiat sambil mengharapkan keampunan Allah.

 

 

BAB 3 : SEKSA KUBUR

 

Al-Bara’ bin Aazib r.a berkata : kami bersama nabi saw keluar menghantar jenazah seorang sahabat anshar, maka ketika sampai ke kubur dan duduk, dan kami duduk di sekitarnya diam menundukkan kepala bagaikan ada burung di atas kepala kami, sedang nabi saw mengkorek-korek dengan dahan di tangannya, kemudian ia mengangkat kepala sambil bersabda :

 

“ berlindunglah kamu kepada Allah dari seksa kubur “ diulang sebanyak 2 atau 3 kali.

 

Lalu Baginda saw bersabda :

 

“ sesungguhnya seorang mukmin jika akan meninggalkan dunia menghadapi akhirat (akan mati), turun padanya malaikat yang putih-putih wajahnya  bagaikan matahari, membawa kafan dari syurga, maka duduk di depannya sejauh pandangan mata mengelilinginya, kemudian datang malakulmaut yang duduk di dekat kepalanya dan memanggil :

 

Wahai roh yang tenang baik, keluarlah menuju pengampunan Allah dan redha-NYA.

 

Nabi saw bersabda :

 

Maka keluarlah ruhnya mengalalir bagaikan tetesan dari mulut kendi ( kran ) tempat air, maka langsung diterima, dan langsung dimasukkan dalam kafan dan dibawa keluar semerbak harum bagaikan kasturi yang terharum di atas muka bumi, lalu dibawa naik, maka tidak melalui sekumpulan malaikat melainkan ditanya :

 

Ruh siapakah yang harum ini ?

 

Dijawab : Ruh fulan bin fulan sehingga sampai ke langit, dan disana dibukakan pintu langit, dan disambut oleh penduduknya dan pada tiap langit dihantar oleh malaikat Muqarrabun  dibawa naik ke langit yang atas hingga  sampai langt ketujuh, maka Allah befirman :

 

“ Catatlah surat illiyyin “

 

Kemudian dikembalikan ia ke bumi, sebab daripadanya Kami jadikan , dan didalamnya Aku kembalikan  dan daripadanya pula akan Aku keluarkan pada saatnya. Maka kembalilah roh ke jasad dalam kubur,  kemudian datang kepadanya 2 malaikat untuk menanya :

 

Siapa Tuhanmu ? Maka dijawab : Allah Tuhanku. Lalu ditanya : Apakah agamamu ? Dijawab : Agamaku Islam. Ditanya : Bagaimakah pendapatmu terhadap orang diutus di tengah-tengah kamu itu ? Dijawab : Dia utusan Allah. Lalu ditanya : Bagaimakah engkau mengetahui itu ? Dijawab : Saya membaca kitab Allah lalu percaya dan membenarkannya.

 

Maka terdengar suara : Benar hambaku, maka berikan padanya hamparan dari syurga serta pakaian syurga dan bukakan untuknya pintu yang menuju ke syurga , supaya ia mendapat bau dan hawa syurga, lalu diluaskan kubur sepanjang pandangan mata kemudian datang kepadanya seorang yang bagus wajahnya dan harum baunya sambil berkata :

“ terimalah khabar gembira, ini saat yang dijanjikan Allah kepadamu “

 

Lalu ditanya : siapakah engkau ? Jawabnya : saya amalmu yang baik . Lalu ia berkata : Ya Tuhan segerakan hari kiamat supaya segera saya bertemu dengan keluargaku dan kawan-kawanku.

 

Nabi saw bersabda :

 

“ adapun hamba yang kafir jika meninggalkan dunia dan menghadapi akhirat, maka turun kepadanya malaikat dari langit yang hitam mukanya dengan pakaina hitam. Lalu duduk di mukanya sepanjang pandangan mata, kemudian datang malakulmaut dan duduk disamping kepalanya, lalu berkata :

 

Hai roh yang jahat, keluarlah menuju murka Allah . Maka tersebar di semua anggota badannya , maka dicabut ruhnya bagaikan mencabut besi dari bulu yang basah, maka terputus semua urat dan ototnya, kemudian diterimanya akan dimasukkan dalam kain hitam dan dibawa dengan bau yang sangat basin bagaikan bangkai dan dibawa naik, maka tidak melalui malaikat melainkan ditanya :

 

Ruh siapakah yang jahat dan basi itu ? Dijawab : Fulan bin fulan dengan sebutan yang amat buruk sehingga sampai di langit dunia, maka minta dibuka, tetapi tidak dibuka untuknya.

 

Kemudian, nabi saw membaca ayat :

“ Tidak dibukakan bagi mereka itu pintu-pintu langit  dan tidak dapat masuk syurga sehingga unta dapat masuk dalam lubang jarum “

 

Kemudian diperintahkan : Tulislah orang itu dalam sijjin. Kemudian dilemparkan ruhnya itu begitu sahaja sebagaimana ayat :

 

“ Dan siapa mempersekutukan Allah , maka bagaikan jatuh dari langit lalu disambar helang atau dilemparkan oleh angin ke dalam jurang yang curam “

 

Kemudian dikembalikan roh itu ke dalam jasad di dalam kubur. Lalu didatangi oleh 2 malaikat yang menundukkannya lalu bertanya :

Siapa Tuhanmu ? jawabnya : saya tidak tahu. Lalu ditanya : Apakah agamamu ? Jawabnya: saya tidak tahu. Lalu ditanya : Bagaimanakah pendapatmu terhadap orang yang diutus ditengah-tengah kamu itu ? Jawabnya : saya tidak tahu.

 

Maka terdengar suara seruan dari langit :

“ Dusta hambaku, hamparkan untuknya dari neraka dan bukakan baginya pintu neraka “

 

Maka terasa olehnya panas hawa neraka, dan disempitkan kuburnya sehingga terhimpit dan rosak tulang-tulang rusuknya , kemudian datang kepadanya seorang yang busuk wajahnya dan basi baunya berkata kepadanya:

 

“ Sambutlah hari yang sangat buruk bagimu, inilah saat yang telah diperingatkan oleh Allah kepadamu “

 

Lalu ia bertanya : Siapakah engkau ? jawabnya: Aku amalmu yang buruk. Lalu ia berkata : Ya Tuhan janganlah Engkau segerakan akan datangnya hari kiamat .

 

Dalam suatu hadis lain diceritakan juga Baginda saw bahawa seorang hamba yang mukmin akan didatangi malakulmaut yang membawa sutera yang berisi misik( kasturi )  dan tangkai-tangkai bunga. Lalu setelah dicabut ruhnya, akan diletakkan ia di atas misik dan bunga-bunga itu dan dilipat dengan sutera.

 

Manakala bagi yang kafir, akan didatangi malakulmaut yang membawa kain bulu, di dalamnya ada api dan dicabut ruhnya dengan kekerasan.

 

Hamba yang mukmin didalam kubur seperti pengantin yang baru berkahwin. Dikurniakan untuknya nur cahaya yang menerangi seperti sinaran matahari seandainya dia menghafal  sedikit dari Al-Quran. Diperluas kubur sehingga 70 hasta. Jika tidur, tidak ada yang membangunkan kecuali kekasihnya sendiri. Maka bila dia bangun bagaikan orang yang masih kurang masa tidurnya dan belum puas.

 

Adapun untuk mereka yang kafir , Allah akan sempitkan kubur mereka dan dikirimkan pada mereka ular segemuk leher unta yang akan memakan daging mereka hingga habis dan yang tinggal hanyalah sisa tulang . Kemudian, dikirim pula malaikat yang buta dan tuli untuk menyiksa dengan memukul mereka yang kafir menggunakan pemukul dari besi serta disediakan untuk mereka siksaan neraka pagi dan petang.

 

 

Lazimilah 4 perkara untuk selamat dari seksa kubur :
 

  • menjaga sembahyang 5 waktu.

  • Banyak bersedekah.

  • Banyak membaca Al-Quran.

  • Memperbanyak tasbih( subhanallah, walhamdulilah, walaa ilaha ilallah wallau akbar ).

 

Tinggalkan pula 4 perkara :

 

  • Dusta.

  • Khianat.

  • Mengadu domba.

  • Menjaga kencing. ( menjaga kebersihan dengan memastikan tiada sisa yang tinggal di saluran air kencing keluar )

 

Sedarlah seandainya diri masih leka dengan arus keseronokan dunia. Setiap hari kubur berkata :

“ Akulah rumah yang gelap, akulah tempat sendirian, akulah rumah ulat-ulat “

 

Wahai saudaraku, jika dirimu ingin merasa sedikit sahaja kengerian kubur itu. Sebelum engkau tidur di waktu malam, lihatlah dirimu yang hanya diselubungi kegelapan. Bayangkanlah yang engkau sekarang berada didalam kubur. Perhatikanlah kesunyian kegelapan dan katakanlah pada dirimu :

 

“ inilah keadaanku buat selamanya bersendirian “

 

Renungilah kembali kesilapanmu yang lalu di saat itu dan muhasabahlah serta pohonlah keampunan Allah.

 

Usman bin Affan r.a. pada suatu hari ditegur ketika menangis diatas kubur :

 

“ engkau jika menyebut syurga dan neraka tidak menangis, tetapi menangis kerana kubur ? “

 

Jawab usman r.a :

 

Rasulullah saw bersabda :  kubur itu pertama tempat yang menuju akhirat, maka bila selamat dalam kubur, maka yang dibelakangnya (selepasnya) lebih ringan, dan jika tidak selamat dalam kubur maka yang dibelakangnya lebih berat daripadanya.

 

 

Lihatlah kisah di zaman sahabat nasi saw. Seorang lelaki dalam golongan yang mengerjakan haji  meninggal dunia lalu apabila digali kubur buatnya didapati terdapat ular sebesar lahad menantinya. Meskipun digalikan kubur lain tetap sahaja ada ular itu. Selepas dikebumikan juga, ditanya pada isteri si mati akan sebab sedemikian rupa keadaan yang Allah sediakan buatnya dan isteri lelaki itu menjawab, lelaki itu selalu menipu dalam urusan jual belinya.

 

Dalam kisah lain seorang wanita yang telah selamat dikebumikan, lalu ketika digali kembali kuburnya didapati kuburnya menyala api. Setelah ditanya pada ibu wanita tersebut, diberitahu bahawa wanita itu selalu mengadu domba.

 

Jadikanlah kisah ini dan apa yang dinyatakan di dalam Al-Quran sebagai pengajaran dan ingatan kerana Allah befirman :

 

“"Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan pertunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta".

( Taha : 124 )

 

  kehidupan sukar ini ketika menghadapi pertanyaan dalam kubur .

.

Ambillah peringatan dan jadikanlah ia pengajaran yang akan membimbing kita menjadi seorang mukmin yang bahagia di alam ini dan alam yang bakal menjelang nanti.

 

 

BAB : KEDASYATAN DAN KENGERIAN HARI KIAMAT

 

Aisyah r.a. berkata : Saya bertanya kepada Rasulullah saw

 

“ apakah yang cinta ( pencinta ) itu ingat pada kekasihnya pada hari kiamat ? “

 

Jawab nabi saw :

 

“ adapun di 3 tempat maka tidak ingat :

 

-Ketika ditimbang amal sehingga diketahui apakah ringan atau berat.

-Ketika menerima lembaran catatan amal ( suhuf ), sehingga ia terima sama ada dari kanan atau dari kiri.

-Ketika keluar dari neraka ular naga lalu mengepung mereka dan berkata :

 

“ aku diserahi 3 macam ( golongan ) : orang mempersekutukan Allah dengan lain Tuhan. Orang yang kejam, penentang dan  zalim. Orang yang tidak percaya pada hari kiamat( hisab ) “

 

Maka diringkus semua orang-orang yang tersebut itu lalu dilemparkan semuanya dalam neraka jahannam dan di atas neraka jahannam itu ada jambatan yang lebih halus dari rambut dan lebih tajam dari pedang, sedang di kanan kirinya ranjau dan duri-duri, sedang orang-orang yang berjalan di atasnya ada yang bagaikan kilat, dan bagaikan angin yang kencang, maka ada yang selamat, dan ada yang luka terkena bantolan duri, dan ada yang terjerumus muka ke dalam neraka.

 

Sebelum hari yang mendebarkan ini bermula akan ditiupkan 2 kali sangkala, yang pertama akan mematikan dan yang kedua akan membangkitkan kembali. Jarak di antara keduanya adalah 40 tahun. Allah akan menurunkan hujan air bagaikan mani lelaki bagi menghidupkan kembali orang-orang mati.

 

Allah telah menciptakan sangkakala itu setelah selesai kejadian langit dan bumi. Malaikat Israfil dari saat pertama meletakkan mulutnya pada sangkakala tidak pernah mengalihkannya sehingga ke saat ini dan masih menantikan perintah Allah .

 

Sangkakala itu seperti tanduk dari cahaya, besar bulatannya seluas langit dan bumi.

 

Dalam riwayat lain dikatakan akan ada 3 tiupan. Pertama untuk menakutkan, kedua mematikan dan ketiga menghidupkan.

 

Saat pertama ditiupkan sangkakala, akan tergoncanglah bumi, manusia bagaikan orang mabuk sehingga ibu yang mengandung gugur kandungannya. Bagi yang menyusui akan lupa pada bayinya, anak-anak akan beruban dan syaitan akan lari bertempiaran.

 

Allah befirman :

 

“ dan ketika ditiup sangkakala maka matilah semua yang di langit dan bumi kecuali yang dikehendaki oleh Allah, kemudian ditiup lagi tiba-tiba mereka bangun dan melihat “

( Az-zumar : 68 )

 

Mereka yang dikecualikan itu ialah :

  • Roh mereka yang mati syahid.

  • Jibril

  • Mikail

  • Israfil

  • Hamalatul arsyi ( malaikat yang mengusung arasy )

  • Malakulmaut

 

Kemudian Allah memerintahkan malakulmaut untuk mencabut nyawa semua yang masih tinggal.

 

Allah akan berkata pada malakulmaut :

 

“ Hai malakulmaut tidaklah engkau telah mendengar firman-Ku : tiap jiwa harus merasakan kematian, sedang engkau salah satu dari makhluk-Ku. Aku jadikan engkau untuk tugasmu itu, dan kini matilah engkau, maka matilah malakulmaut “

 

Setelah tiada lagi yang hidup Allah befirman kepada seluruh dunia :

 

“ Dimanakah raja-raja dan putera-putera raja, dimanakah raksasa-raksasa dan putera raksasa-raksasa yang makan rezeki-Ku tetapi menyembah lain-Ku “

 

Kemudian Allah befirman :

 

“ siapakah yang mempunyai hak milik pada hari ini ? “

 

Pertanyaan ini tidak ada yang menjawab, maka Allah sendiri yang menjawab :

 

“ Hanya bagi Allah yang tunggal dan memaksa segala sesuatu “

 

Setelah diturunkan hujan air seperti mani lelaki itu, makhluk akan tumbuh seperti sayur sehingga sempurna kerangka badannya.  Lalu Allah akan menghidupkan Israfil dan hamalatul arasy. Israfil akan kembali meletakkan mulutnya di sangkakala, kemudian Allah menghidupkan jibril dan mikail. Allah lalu memanggil roh-roh dan meletakkan mereka ke dalam sangkakala.

 

 

 

Setelah Allah memerintahkan Israfil untuk meniup sangkakala itu, maka keluarlah roh bagaikan lebah dan masuk ke dalam setiap jasad melalui hidung.

 

Manusia pertama yang akan keluar ialah nabi Muhammad saw. Manusia akan keluar dari kubur dalam keadaan telanjang bulat dan terus menuju pada Allah. Mereka kemudiannya akan berhenti di satu tempat selama  70 tahun, Allah membiarkan mereka di situ. D sinilah akan ada yang menangis sehingga keluar air mata darah, berpeluh sehingga banjir.

 

Allah akan memanggil mereka ke mahsyar, lalu akan terdengarlah suatu suara yang keras dari langit dan ketika itu terbukalah langit dunia.  Para malaikat akan turun dan mengepung semua yang ada di bumi. Akan ada 7 barisan malaikat yang mana setiap barisannya adalah dari langit pertama hingga ke tujuh. Walau ke mana sahaja kita berpaling pada waktu itu pasti hanya melihat barisan malaikat.

 

Dan ingatlah ketika Nabi Muhammad saw bersabda bahawa Allah befirman :

 

“ Hai para jin dan manusia saya nasihatkan kepadamu, sesungguhnya yang tercatat dalam lembaran hanya amal mu sendiri, kerana itu siapa yang mendapatkan di dalamnya kebaikan hendaklah mengucapkan Alhamdulilah dan siapa yang mendapat lain dari itu, maka jangan menyalahkan yang lain kecuali dirinya sendiri . Kemudian Allah menyuruh jahannam, maka keluar daripadanya binatang yang panjang mengkilat gelap lalu berkata. Maka Allah befirman :

 

“ Tidaklah Aku telah berpesan kepadamu, jangan menyembah syaitan, sesungguhnya ia musuhmu yang nyata-nyata. Dan sembahlah Aku. Inilah jalan yang lurus. Dan ia ( syaitan ) telah menyesatkan umat-umat yang banyak dari kamu  . Apakah kamu tidak berakal ( berfikir ) dan menyedarinya. Inilah neraka jahannam yang telah diancamkan kepadamu. Masuklah kamu kini, oleh sebab kekafiranmu. “

 

Ketika itu bertekuk lutut tiap-tiap umat hatta seorang nabi meskipun.

 

Mu’adz Ibn Jabal r.a. berkata, nabi saw bersabda :

 

“ tidak dapat bergerak kak seorang hamba sehingga ditanya tentang 4 : Umurnya digunakan apa sampai habis, dan badannya dalam apa ia dirosakkan, dan ilmunya apa atau ia pergunakan ( amalkan ) , dan hartanya dari mana ia dapat ke mana ia keluarkan “

 

Di hari kiamat kelak, walau sebesar dan seluas mana sekalipun kasih kita pada seorang manusia pasti kita tidak akan sanggup memberikan mereka kebaikan walau sebesar zarah, kita hanya akan risau akan keadaan diri sendiri sahaja kerana saat itu kita sedar bahawa neraka itu lebih teruk dari mati.

 

 

Nabi saw mengajar kita akan doa mustajab telah Allah kurniakan istimewa untuk para nabi, setiap nabi telah menggunakan doa tersebut sewaktu di dunia kecuali Baginda saw. Baginda saw telah menyimpan doa itu untuk digunakan sebagai syafaat buat kita umatnya di hari kiamat kelak.

 

Pada hari kiamat kesukaran dan kerisauan hanya akan bertambah setiap detik sehingga akhirnya manusia pergi kepada nabi Adam as bagi memohon syafaatnya ( bantuan ) . Namun, nabi Adam a.s tidak mampu menghulurkan bantuan kerana risau akan dirinya yang pernah diusir dari syurga kerana dosanya.  Lalu mereka berlalu pergi kepada Nuh a.s, namun Nuh a.s juga tidak mampu menghulurkan bantuan. Kemudian, berlalulah mereka selama beberapa tahun ke Nabi Ibrahim a.s khalilullah, tetapi tetap juga Baginda tidak mampu memberi bantuan kepada mereka kerana risau akan dirinya yang pernah berdusta ( dusta Nabi Ibrahim adalah untuk mempertahankan agama ) . Setelah itu, mereka berjalan lagi menemui nabi Musa a.s dan nabi Isa a.s namun tetap sahaja mereka tidak mampu membantu sehingga akhirnya sampai kepada nabi Muhammad saw. Akhirnya, Baginda saw akan memberi bantuan buat mereka bagi mengurangkan penderitaan yang mereka alami dengan izin Allah.

 

Demi Allah meskipun kita mempunyai amal 70 nabi tetap sahaja akan kita bertekuk lutut ketika melihat neraka jahannan. Hari kiamat itu kira-kira 5000 tahun waktunya ( tidak diketahui bagaimanakah perkiraan masanya ) namun bagi mukmin yang ikhlas hanyalah seperti sesaat. . Oleh itu, beramallah dengan ikhlas mengharapkan redha Allah dan jauhkanlah diri dari sesuatu yang telah diharamkan serta bersabarlah dengan penderitaan di dunia ini.

 

bottom of page