Duniaku dakwahku:
Siapakah kita sebenarnya?
Salam kuhulurkan buatmu saudaraku semuslim dan teman seiman..
Warkah ini kutulis khas buat diriku dan insan yang sering terleka dan alpa tentang kehidupan duniawi. Nikmat dunia telah membuat kita terbuai dengan keasyikannya. Apakah nikmat dunia? Harta? Keluarga? Pekerjaan yang bagus? Makanan yang enak setiap hari? Ya, semua itu adalah sebahagian daripada nikmat dunia yang dapat kita rasai setiap hari! Jangan kata yang terlihat oleh mata, yang sering dilupakan, setiap hela nafas kita juga adalah nikmat. Cuba bayangkan jika kita tidak boleh menarik nafas dalam masa yang lama, mampukah kita bertahan? Tidak. Itu kerana Allah telah menetapkan bahawa kita perlukan oksigen untuk hidup. Mata untuk melihat, telinga untuk mendengar, lidah untuk merasa, mulut untuk bercakap, dan tangan untuk memegang, itu semua adalah nikmat. Cuba bayangkan jika Allah menarik semula nikmat-nikmat pancaindera kita, mampukah kita untuk bertahan hidup? Setelah selesa dengan segala nikmat yang telah dikurniakan, sempurna. Sekali lagi, mampukah? Pastinya tidak. Tidak kawan-kawan. Terfikirkan itu sahaja sudah membuatkan kita gerun apatah lagi mahu merasainya. Jika mahu dihitung nikmat-nikmat yang kita rasai, SubhanAllah pasti kita tidak mampu. Tetapi, mengapa kita sering lupa kepada siapa pemberinya? Siapa pemberinya? Sudah pastinya Allah Azza Wajalla, tuhan sekalian alam. Mari kawan, lakukan refleksi terhadap diri kita sebelum kita jauh, jauh dari Sang pencipta.
Dalam menongkah arus dunia yang begitu mengasyikkan, Tanya diri kita, siapa aku sebenarnya? Anak? Kakak? Adik? Pelajar? Orang Melayu? Ya, jawapan itu semua benar belaka. Tapi, hanya itu sahajakah? Pada kad pengenalan kita, tertulis cantik disitu Islam. Bermakna kita beragama Islam. Namun, bilakah kita beragama islam? Adakah kerana kita dilahirkan dalam Islam bererti kita islam? Dimana islam itu dalam diri kita? Di sini ada jawapannya, namun fikirkanlah dimana kita. Saya, seorang pelajar muslim atau saya seorang muslim yang belajar.
Mana satu yang datang dahulu, pelajar atau muslim? Jika ditanya saya, sudah pasti saya memilih saya seorang muslim yang belajar. Kerana apa? Kerana saya adalah seorang muslim, dan saya sedang belajar di universiti tempatan. Saya pasti, ramai yang bersetuju dengan saya. Namun, sampai manakah kita faham tentang islam itu sendiri. Kita mengaku kita islam tetapi, tanyakan diri kita tahap yang kita faham apa itu islam. Dalam surah Al-baqarah ayat 131 Allah berfirman yang bermaksud, ‘Ingatlah ketika Tuhannya berfirman kepadanya: “ Serahkanlah diri (Kepadaku wahai Ibrahim)!” Nabi Ibrahim menjawab: “Aku serahkan diri (tunduk taat) kepada Tuhan yang Memelihara dan Mentadbir sekalian alam”. Dari ayat tersebut dapat kita simpulkan bahawa makna islam sebenar-benarnya adalah tunduk dan patuh. Tunduk dan patuh kepada siapa? Sudah tentu kepada Allah, Tuhan sekalian makhluk. SubhanAllah, besar ertinya Islam. Islam bukanlah kata nama, tetapi islam adalah kata kerja!
Cuba kita fikir semula, bilakah kita tunduk dan patuh kepada Allah? Ketika solat? Ketika di dalam masjid? Ketika mendengar ceramah agama? Pada masa-masa itu sahajakah? Bermakna pada masa itu sahajakah kita islam? Lantas, ketika makan, bercakap, duduk, berjalan malahan ketika tidur, dimanakah islam kita? Allahuakbar! Kawan-kawan, cuba kita renungkan kembali, adakah kita benar-benar menjadikan islam itu panduan hidup sehari-hari kita? Islam adalah ad-din, yang membawa maksud panduan hidup. Sudah cukup mengertikah kita apa itu islam? Dalam sebuah hadis sohih Buhkari dan Muslim, daripada Abu Hurairah r.a, beliau berkata:
Rasulullah S.A.W. bersabda: sesiapa yang Allah mahukan kebaikan baginya, nescaya Dia (Allah) memberikannya kefahaman dalam agama.
Fahamkan maksud hadis tersebut, ini adalah tanda kasih sayang Allah terhadap hamba-Nya dengan mengurniakan kefahaman agama kepadanya. Jadikan islam sebagai panduan hidup kita seperti mana yang diajarkan oleh kekasih Allah, Rasulullah S.A.W.. Akhlak Rasulullah adalah akhlak islam yang sebenar-benarnya. Tiada keraguan tentangnya. Kita sudah tahu banyak berkaitan kebaikan-kebaikan baginda dalam kehidupannya sehingga mampu membawa islam sehingga ke hari ini. Jadikan baginda sebagai contoh dan idola kita. In Shaa Allah kita akan selamat dunia dan akhirat, dan sama-sama kita menuju jannah bertemu dengan Allah Azza wajalla.
Akhir kalam, bersyukurlah atas segala nikmat yang dikurniakan Allah kepada kita, dan salah satu tanda kita bersyukur dengan nikmatnya adalah dengan mengikuti segala suruhan-nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Maaf, seandainya dalam coretan ini ada yang menyinggung perasaan para pembaca. Apa yang diharapkan hanyalah warkah ini mampu membuka mata kita untuk memahami islam dengan sebenar-benarnya sebagaimana fahamnya sahabat-sahabat Rasulullah sehingga mereka sanggup untuk shahid menegakkan agama Allah. Sekian, salam ukhwah.