top of page

Sinetron Hati

     Cinta adalah sesuatu yang mudah dirasakan tetapi sukar diungkapkan dengan bait-bait kata selamba bersahaja. Sungguh,sebagai insan biasa, kita acapkali akan dikaitkan dengan episod cinta duniawi semata. Namun, sedarkah kita semua itu adalah satu kurniaan daripadaNya? Sememangnya,kita tidak boleh lari daripada terpalit dengan episod suka dan duka di dalam drama cinta kita sendiri.Ada yang meraung kesakitan akibat bedilan peritnya cinta ,dan ada yang melebarkan senyuman manja akibat meraih cinta yang mereka rasa mungkin sudah sampai di penamatnya cerita.

 

    Jika dilihat melalui drama di kaca televisyen, cinta sering dijadikan perkaitan utama untuk dijadikan tontonan umum.Tidak dinafikan,cinta sangat memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan kita, namun cinta juga boleh membuatkan kita buta untuk melihat segala keagungan Pemberi Cinta yang sebenarnya.Sudah pastinya jika diikutkan hati,cinta kita kepada manusia mungkin akan mengatasi segala-galanya jika daripada awal lagi kita berjinak-jinak mengikut perasaan agar diri ini sentiasa dicintai. Tidak salah sebenarnya mempunyai perasan sebegitu kerana kita semua dilahirkan atas fitrahnya tetapi dengan syarat haruslah ada batasannya yang tersendiri.

 

   Kejarlah cinta Ilahi dahulu sebelum mengejar cinta manusia.Sesungguhnya cinta manusia itu sangat rapuh berbanding cinta Ilahi yang kekal utuh buat selamanya.Masih tidak terlalu lambat untuk kita memulakannya daripada sekarang.Belajarlah erti setia dalam percintaan bersama Tuhan dahulu sebelum kita memulakan sinetron pertama cinta kita bersama manusia. Tidak dinafikan,cinta memerlukan pengorbanan dan pengabdian diri, tetapi bukan untuk si dia yang dicintai,tetapi kepada Tuhan yang memberi. Percayalah, semuanya akan menjadi indah tanpa kita sedari. Ikhlaskan. Ikhlaskan diri mencintai Ilahi kerana segalanya bermula daripadaNya yang Maha Pemberi.

 

   Namun,kita semua mempunyai takdir cinta yang tersendiri.Tidak semua meraih cinta yang tulus,tepat pada masanya.Segalanya mengambil masa yang agak lama untuk kita dipertemukan dengan seseorang yang benar-benar tepat buat diri kita.Bersabarlah,beri ruang dan masa.Jangan pernah membiarkan persoalan tentang cinta itu menyesakkan dada dan minda kita sehingga kita langsung tidak diberi peluang untuk menghela nafas lega. Percaya padaNya,segalanya akan datang dengan sendiri tanpa perlu dipaksa. Segala masalah pasti ada solusinya,begitulah juga cinta. Jika sebelum ini kita tertanya-tanya,kenapa kita masih tidak dipertemukan jodoh,tanya kembali pada hati.Adakah kita sudah bersedia?Adakah cinta kita kepada Allah telah membuatkan diri kita cukup untuk mencintai manusia?. Jawapannya ada pada doa kita sendiri.Berdoalah bersungguh-sungguh kepadaNya. Mungkin orang yang benar-benar tepat untuk kita, sedang berdoa agar kita ‘disimpan’ untuknya sehingga masanya tiba. Segalanya,boleh terjadi tanpa kita sedari bukan?Itulah kuasaNya, memberi sesuatu yang kita fikir agak mustahil dipermulaannya tetapi sangat tidak mustahil di pengakhirannya.Sesungguhnya,berdoa kepadanya itulah kuncinya.

bottom of page