top of page

Sunnah Rasulullah saw

Penglihatan

1. Nabi saw suka memandang kepada kehijauan dan air yang mengalir. Secara ringkasnya nabi saw suka memandang pada kecantikan dan pemandangan-pemandangan yang baik  kerana ia dapat memberi ketenangan pada hati.

2. Nabi saw memandang orang lain dengan pandangan rahmat yakni pandangan yang memberi ketenangan pada orang yang dilihat.

3. Nabi saw apabila memandang seseorang, Baginda saw hanya memandang seketika dengan pandangan yang lembut dan tidak menajamkan pandangannya.

4. Selalunya Baginda saw menghalakan pandangannya ke bumi daripada langit kerana Baginda saw sangat tawadhu’ dan beradab dengan Allah.

5. Apabila Nabi saw melihat perkara dunia yang menakjubkan seperti kenderaan atau Bangunan, Baginda saw akan berkata “ Tiada kehidupan yang lebih baik daripada kehidupan akhirat. “

6. Jangan mengintai sesuatu yang tidak berfaedah.

7. Nabi saw menjaga matanya dengan  bercelak menggunakan ithmid. Baginda saw bercelak mata kanan terlebih dahulu sebelum mata kiri. 3 kali mata kanan kemudian 3 kali mata kiri.

 

Selawat pada Baginda saw

 

1. Baginda saw bersabda : “ Di antara kamu yang diutamakan denganku pada hari kiamat ialah orang yang paling banyak berselawat ke atasku “.

 

Manusia yang paling hampir dengan nabi saw ialah mereka yang paling kerap berselawat padanya.

 

2. Pada suatu hari, nabi saw keluar dengan sangat gembira dan ceria. Maka para sahabat bertanya: “ Wahai Rasulullah, kami melihat engkau begitu gembira hari ini? “

 

Rasulullah saw bersabda : “ Bagaimana aku tidak gembira, aku tidak ceria. Jibril as telah turun dan mengkhabarkan kepadaku bahawa Allah SWT berselawat 10 kali kepada siapa yang berselawat ke atasku sekali “.

 

3. Selawat pada nabi saw menghapuskan kegelisahan dan mengcukupkan hajat kita.

4. Disunatkan untuk berselawat pada nabi saw apabila memasuki rumah atau masjid dan juga apabila keluar darinya.

5. Nabi saw bersabda : “ perbanyakkanlah selawat ke atasku pada hari jumaat, sesungguhnya selawat-selawatmu akan sampai kepadaku..“

6. Orang yang bakhil adalah orang yang apabila disebut nama nabi saw maka dia tidak berselawat ke atas nabi saw.

7. Kunci kepada rahmat Allah adalah dengan mengikut cara kehidupan nabi saw.

 

Sunnah dan adab dalam bermusafir

 

1. Pastikan tujuannya adalah baik.

2. Tunaikan 2 rakaat solat sunat sebelum keluar bermusafir kerana nabi saw mengkhabarkan bahawa tidak ada yang lebih baik mampu ditinggalkan oleh si musafir pada keluarganya kecuali solat sunat 2 rakaat.

3. Nabi saw suka bermusafir pada hari khamis dan tidak pada hari jumaat kerana jika bermusafir pada hari jumaat kita akan lebih cenderung untuk tidak menunaikan solat jumaat.

4. Bermusafirlah pada malam hari kerana ia akan lebih dipermudahkan kata nabi saw.

5. Sunat membawa beg kecil ketika bermusafir yang telah diisikan dengan keperluan asas. Baginda saw selalunya membawa siwak, sikat, cermin, celak dan kayu wangi( Al-Midra ).

6. Sunnah memohon penjagaan buat keluarga apabila hendak meninggalkan mereka dengan berdoa : “ aku pohon agar kau dijagai oleh Allah SWT yang takkan hilang jagaan dariNya “

7. Sunnah meminta orang yang bermusafir berdoa buat diri kita.

8. Pilihla teman perjalan yang sudah dikenali dan andai kata jumlahnya melebihi 3 orang maka lantiklah salah seorang menjadi ketua sebagai pemimpin yang menyusun atur perkara-perkara sepanjang perjalanan.

9. Sunnat bertakbir apabila mendaki paras tinggi dan bertasbih apabila menuruni paras rendah. Contohnya apabila kapal terbang berlepas dan mula terbang tinggi ketika itu sunat kita bertakbir.

10. Nabi saw suka mendengar nyanyian yang menenangkan hati ketika bermusafir.

11. Apabila memasuki kawasan yang baru seperti sebuah kampung atau negara disunnahkan kita memohon doa agar semua perkara dipermudahkan.

12. Pastikan juga apabila pulang dari bermusafir, kita pulang dengan membawa hadiah buat keluarga dan sanak saudara.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Adab dan sunnah di Pasar

 

Rasulullah saw adalah insan pertama didalam islam yang mengasaskan pasar.

1.Sabda nabi saw apabila hendak memasuki pasar bacalah :

 

“ Lailahailallah wahdahulasharikalah lahumulk walahulhamd yuhyi wayumitu wahuwahayyu layamut biyadihi khair wahuwa ala kullisyain qadir “

 

Maksudnya : Tiada Tuhan selain Allah dan tiada pula sekutu bagi-Nya. Segala puji hanya untuk-Nya, Dia menghidup dan mematikan, Dia hidup dan takkan mati, Seluruh kebaikan berada di tangan-Nya dan dia berkuasa ke atas segala sesuatu. “

 

Kebaikan bacaan ini : sejuta kebaikan akan ditulis dan sejuta keburukan akan dipadam. Allah akan menaikkan sejuta darjatnya lebih tinggi dan Allah akan sediakan sebuah rumah untuknya di syurga.

 

Ganjarannya sangat besar kerana pertama Allah itu maha pemurah dan selalunya orang yang berada di pasar akan leka dari mengingati Allah maka bayangkanlah ganjaran orang yang mengingati Allah sewaktu dia berada dalam kalangan orang yang melupakan-Nya.

 

2. Nabi saw selalu bersikap mesra dengan penjual dan selalu menasihati mereka. Nabi saw telah mengkhabarkan bahawa peniaga yang jujur akan bersama para syuhada’ di hari kiamar kelak dan bagi mereka yang tidak, mereka itu bukan dalam golongan kita.

 

3.Sunnah : Apabila kita membeli sesuatu barang, kita yang menjadi pemilik pada barang itu lebih berhak untuk membawanya.

 

4. Nabi saw tidak suka suasana yang riuh rendah di pasar dan Baginda saw selalu bersifat tenang apabila berada disana.

 

5. Nabi saw bersabda( khusus untuk penjual ) :

” Bersumpah baik untuk barang tapi menghilangkan keberkatannya. “

Ini adalah untuk perkara yang benar kalau perkara itu bohong maka dia itu telah derhaka kepada Allah.

 

6. Banyakkan menundukkan pandangan dari memandang wanita apabila berada di pasar dan ini adalah sunnah yang dianjurkan nabi saw.

 

 

 

 

 

 

 

Adab dan sunnah ketika  makan.

 

1. Makanlah dengan senang hati yakni bergembiralah apabila diberika rezeki makanan tapi pastikan ia bukan makanan yang haram dan jangan membazir.

2. Nabi saw selalunya akan membasuh tangan terlebih dahulu sebelum makan.

3. Kemudian, sunat kita duduk betul-betul dihadapan makanan dan nabi saw duduk dengan kedudukan iftirasy.

4. Sunnah :

  • Membaca bismillah sebelum makan.

  • Makan menggunakan tangan kanan.

  • Makanlah apa yang berdekatan dahulu.

  • Makan dengan suapan yang kecil.

5. nabi saw tak makan makanan yang terlalu panas kerana tiada keberkatan pada makanan seperti itu.

6. Nabi saw bersabda : “ kalau serpihan makanan jatuh, kutip, bersihkan dan makanlah. Jangan tinggalkannya untuk syaitan.“

7. Masaklah makanan yang diperlukan sahaja dan jangan terlalu berlebihan.

8. Baginda saw akan melicinkan pinggan maknanya Baginda saw takkan meninggalkan sisa baki makanan didalam pinggan tetapi memakannya sehingga habis.

9. Baginda saw akan menjilat jari-jarinya selepas makan dan bersabda : “ kamu tak tahu di cebisan mana terletaknya keberkatan. “

10. Apabila ada lebihan makanan yang tak mampu dihabiskan, jangan dibuang sebaliknya bungkuslah ia dan berikan pada mereka yang memerlukan. TAK PERLU MALU UNTUK MELAKUKANNYA.

11. Elakkan tidur selepas makan kerana ini akan menjadikan hatimu keras.

12. Baginda saw suka makan Thareed iaitu roti dan daging bercampur kuah.

13. Nabi saw akan memakan kurma bersama tembikai yakni kurma terlebih dahulu kemudian diikiuti dengan tembikai.

14. Kadangkala, Baginda saw akan makan Qithaa( sejenis timun bewarna cerah ) dengan kurma. Kurma dulu kemudian Qithaa.

15. Nabi saw suka makanan manis dan sejuk. Kalau di zaman kita contohnya seperti ais krim.

16. Nabi saw juga suka makanan seperti cuka dan minyak zaitun. Dalam satu hadis nabi saw bersabda : “ Sebaik-baik kuah adalah cuka. “

17. Apabila selesai makan, pujilah Allah. Kemudian disunatkan kita membasuh tangan dan berkumur.

 

 

 

 

 

 

 

 

Adab dan sunnah di tandas

 

1. Tanggalkanlah cincin atau benda yang disebutkan nama Allah terlebih dahulu sebelum memasuki tandas.

2. Sebelum memasuki tandas, berdoalah dengan memohon perlindungan daripada syaitan. Silalah baca doa masuk tandas:

“ Allahumma inni auzubika minal khubusi walkhobais “

Maksudnya: Wahai Allah, aku berlindung kepadaMu dari syaitan jantan dan syaitan betina. “

3. Pakailah sesuatu untuk menutup kepala.

4. Pakailah selipar agar tidak terpijak najis.

5. Mengangkat pakaian agar tidak terkena najis. Contohnya seluar yang terlalu labuh kita lipat ke atas.

6. Masuk ke dalam tandas dengan mendahulukan kaki kiri.

7. Elakkan menyebut nama Allah sewaktu berada di dalam tandas.

8. Elakkan bercakap-cakap didalam tandas dan andai kata ada yang memanggil maka cukuplah menjawab dengan berdehem.

9. Nabi saw tidak menyukai kita bertelanjang di dalam tandas.

10. Cucilah bahagian tempat keluarnya najis dengan air dan batu( benda yang kesat, tisu pun boleh ). Caranya adalah menyapu najis terlebih dahulu kemudian diikiuti dengan air.

11. Gunalah tangan kiri apabila hendak menyucikan tempat keluarnya najis.

12. Beristibra’ iaitu berdehem-dehem selepas membuang air kecil serta melalukan tangan di bawah alat sulit agar dapat mengeluarkan baki air kencing dari badan.

13. Keluarlah dari tandas dengan mendahulukan kaki kanan kemudian berdoalah dengan doa :

 

“ Alhamdulilah Alladzi Adzhaba ‘anni Addza Wa ‘afani “

Maksudnya: segala puji bagi Allah yang telah menghilangkan kesakitan dariku dan menyihatkanku.

 

14. Apabila hendak membuang hajat, angkatlah pakaian sekadarnya sahaja dan jangan mendedahkan seluruh auratnya.

15. Duduklah dengan kedudukan menekan kaki kiri agar dapat memudahkan keluarnya air kencing dan najis.

16. Elakkan kencing pada permukaan yang keras kerana ini akan menyebabkannya terpecik mengenai pakaian.

17. Bersihkanlah kesan najis selepas kita selesai membuangnya.

 

 

 

 

 

 

 

 

Adab dan sunnah ketika hendak tidur dan bangun

 

Tanpa kita sedar hadirnya nabi saw telah mengangkat darjat  tidur dari hanya satu tabiat manusia kepada suatu ibadah kepada Allah SWT.

 

1. Awalkan waktu tidur agar dipermudahkan untuk kita bangun bagi solat subuh keesokannya.

2. Disunnahkan berwudhu’ dan menggosok gigi sebelum tidur.

3. Nabi saw menggalakkan kita mengibas cadar terlebih dahulu sebelum baring diatas katil kerana mungkin terdapat sesuatu diatasnya.

4. Tidurlah dengan berbaring di sisi kanan dan letakkan tapak tangan kanan di bawah pipi kanannya.

5. Disunatkan membaca doa tidur. Kemudian, bacalah ayat Kursi dan surah Al-Kaafirun serta surah Al-Ikhlas, surah Al-Falaq dan An-Naas sebanyak 3 kali. Selepas habis membacanya, tiupkan di atas tapak tangan dan disapukan ke seluruh badan.

6. Disunatkan untuk bertaubat kepada Allah SWT dari segala dosa sebelum tidur serta memaafkan semua manusia yang melakukan kesalahan dengan kita.

7. Baginda saw tidak tidur dalam keadaan bermewah(keselesaan). Nabi saw tidur di atas tikar jerami, kulit haiwan dan pernah hanya di atas tanah. Baginda saw mempunyai katil, namun ia dibuat dari tali.

8. Pendekkan waktu tidur dan bangunlah untuk Qiyammullai.

9. Elakkan tidur berbaring di atas perut(meniarap ) kerana tidur seperti ini dimurkai Allah.

10. Tidur sebentar sebelum waktu zohor atau dipanggil Qailullah sangat digalakkan nabi saw.

11. Nabi saw membenci tidur selepas subuh dan Asar kerana pada waktu ini Allah sedang membahagikan rezekinya.

12. Apabila bermimpi tentang sesuatu yang menakutkan, bacalah ta’awwuz( Auzubillahi mina syaitonirojjim ) dan ludah 3 kali ke sebelah kiri( hanya sebagai isyarat ).

 13. Sunnah nabi saw ialah bangun sebelum masuknya waktu subuh.

14. Apabila bangun, nabi saw akan meyapu mukanya dengan tangannya bagi menyapu kesan tidur dari wajah. Kemudia Baginda saw berdoa :

 

“ Alhamdulilah Alladzi Ahyana Ba’dama Amatana wailaihi nushur. Asbahna wa asbahal mulkulilah “

 

Maksudnya: Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kami setelah mematikan kami dan kepadaNya kami kembali. Telah berpagi-pagi kami, dan berpagi-pagi segala kerajaan itu milik Allah.

 

15. Selepas itu, Baginda saw akan bersiwak, berwudhuk dan solat.

 

 

 

 

 

 

Sunnah ketika bergaul dengan kanak-kanak

 

1. Baginda saw suka menghidu, mencium dan memeluk kanak-kanak. Perbuatan ini adalah rahmat dan kasih sayang.

 

2. Baginda saw suka mendukung kanak-kanak. Hasan dan Husin kerap dilihat berada di atas belakang nabi saw.

 

3. Nabi saw suka bermain dan bergurau senda dengan kanak-kanak.

 

4. Pernah suatu hari Umamah binti Zainab yang masih kanak-kanak datang memanjat ke atas belakang nabi ketika Baginda saw sedang sujud. Nabi saw tidak berubah dari posisinya itu sehinggalah Umamah selesai bermain.

 

5. Nabi saw mendidik kanak-kanak dengan nilai murni kerana ketika ini adalah waktu yang sangat sesuai untuk mendidik mereka.

 

6. Jaga kanak-kanak dari memakan sesuatu yang tidak halal.

 

7. Bercakap benar pada kanak-kanak meskipun kita hanya hendak bergura kerana jika kita menipu, kita akan dianggap sebagai seorang penipu di sisi Allah meskipun kita hanya bermain dengan kanak-kanak.

 

8. Layanlah anak-anak dengan lembut dan jangan menengking mereka. Nabi saw telah menggarisan panduan agar kanak-kanak disuruh menunaikan solat di usia 7 tahun dan andai kata dia enggan di usia 10 tahun maka pukullah dengan pukulah yang ringan seperti memukul dengan perlahan menggunakan batang siwak. Ia dilakukan agar kanak-kanak betul-betul merasai teguran.

 

9. Sentiasalah berdoa dengan memohon kebaikan buat kanak-kanak.

 

10. Baginda saw suka menggembirakan dan memanjakan kanak-kanak bagi menghidupkan keceriaan dalam hati mereka.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Sunnah sewaktu mandi junub

 

1. Nabi saw memulakannya dengan membasuh tangannya.

2. Diikuti dengan membasuh tempat hadas dan menghilangkan kesannya. Fokusnya adalah pada bahagian hadapan dan bahagian belakang(kawasan dubur).

3. Baginda saw kemudian akan berwudhuk seperti wudhuk solat.

4. Seterusnya, nabi saw meleraikan rambutnya dengan jari-jemari lalu menuangkan air sebanyak 3 kali ke atasnya bagi memastikan setiap helaian rambut dan bahagian atas kepala terkena air. Nabi saw bersabda :

 

“ Setiap urat rambut terdapat junub. “

 

5. Selepas itu, nabi saw membasuh sebelah kanan bahagian depan badan diikuti dengan sebelah kanan bahagian belakang badan. Kemudian diikuti dengan perkara yang sama bagi bahagian kiri badan.

6. Setelah itu, nabi saw membasuh kakinya.

 

Disunatkan untuk kita memberi fokus yang lebih pada bahagian sendi seperti bahagian bawah lutut, ketiak dan pastikan air sampai ke anggota badan yang tidak terkena air dengan menggosok menggunakan tangan sehinggalah yakin air telah sampai ke seluruh badan.

 

Sebaik-baiknya akhirilah ia dengan doa seperti mana doa setelah berwudhuk kerana inilah yang dilakukan nabi saw.

 

Antara perkara lain yang perlu diberi perhatian ialah nabi saw apabila mandi wajib, Baginda saw tidak melakukannya dalam keadaan berbogel. Mandilah dengan memakai kain penutup yang menutup bahagian badan dari pusat ke lutut. Nabi saw apabila ingin membasuh bahagian itu, nabi saw akan memasukkan air di bawah kain tersebut.\

 

Nabi saw jugak sangat melarang kita membazir air sewaktu bersuci. Baginda saw hanya menggunakan 1 sa’ bersamaan sebotol air mineral besar atau lebih sedikit.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Sunnah dalam bersukan dan beriadah

 

Antara sukan yang pernah dilakukan oleh nabi saw adalah :

 

1. Memanah

2. Menunggang kuda.

3. Bergusti

 

Nabi saw juga menggalakkan anak-anak diajarkan cara untuk berenang.

 

Apa yang penting disini adalah kita harus sedar bahawa bersukan itu adalah sunnah. Maknanya, andai kata kita keluar dari rumah untuk berjoging, berbasikal, bermain bola atau gimnastik meskipun perkara itu tiada di zaman nabi saw tapi ia akan menjadi sunnah apabila kita niat mahu mengikut didikan nabi saw.

 

Bersukanlah demi menguatkan badan untuk lebih taat kepada Allah SWT.

 

Nabi saw bersabda: “ Berseronoklah dan amalkanlah bersuka. Aku tak suka orang melihat keterbatasan dalam agamamu. “

 

Seterusnya, nabi saw juga suka menganjurkan perlumbaan. Baginda saw menganjurkan perlumbaan kuda kemudian akan memberi hadiah pada kuda-kuda tersebut.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Sunnah dalam bersyukur

 

1. Moto hidup Baginda saw adalah “ Tidakkan aku ingin menjadi hamba yang bersyukur. “

 

2. Nabi saw sentiasa menghargai nikmat walau sekecil manapun ia.

 

3. Nabi saw akan mengutip cebisan makanan dan memakannya agar tidak membazir.

 

4. Jari-jemarinya akan dijilat selepas makan agar tidak membazirkan cebisan-cebisan kecil yang melekat.

 

5. Baginda saw inginkan kita hidup dalam memikirkan tentang nikmat. Nabi saw bersabda :

 

“ sesiapa yang tidak mensyukuri sedikit, takkan mensyukuri banyak. “

 

6. Nabi saw menganjurkan umatnya agar hidup bersama nikmat. Nabi saw bersabda :

 

“ Sesungguhnya Allah SWT suka melihat kesan nikmat pada hamba-Nya. “

 

Pamerkanlah nikmat Allah sekadarnya dan jangan terlalu berlebihan. Kalau kita mampu membeli sehelai baju yang elok, beli dan pakailah ia.

 

7. Peringkat pertama dalam bersyukur adalah kita sedar akan nikmat itu dari Allah dan peringkat paling tinggi adalah dia menggunakan nikmat yang dikurniakan pada perkara yang diredhai Allah SWT.

 

8. Gunakanlah nikmat untuk membantu mereka yang memerlukan.

 

9. Setiap kali Baginda saw menerima berita yang menggembirakan hatinya, nabi saw akan bersujud kepada Allah SWT( sujud syukur ).

 

Di dalam syurga disediakan sebuah rumah yang dipanggil Beit Al-Hamdu yang disediakan bagi mereka yang bersyukur dengan nikmat Allah SWT.

 

Syukurilah nikmat yang Allah kurniakan nescaya Allah akan menambahkan nikmat tersebut.

 

 

 

 

 

 

 

 

Sunnah dalam wangian

 

Nabi saw bersabda :

“ perkara yang disukai oleh aku daripada dunia, wanita yang halal dan wangian. “

 

Rasulullah saw sangat meyukai wangian dan membenci bau yang busuk. Oleh yang demikian nabi saw tidak menyukai bawang putih, merah dan tumbuhan yang busuk.

 

Apabila ditanya nabi saw akan hal ini, nabi saw akan menjawab ini adalah kerana aku seorang pemohon. Bermaksud, aku memohon kepada tuhanku dan malaikat turun kepadaku sebab itulah aku tak mahu ada padaku bau busuk.

 

Allah SWT mengurniakan nabi saw dengan wangian semulajadi. Peluh nabi saw lebih wangi dari minyak wangi.

 

Pada suatu hari nabi saw tidur di rumah Ummu Salamah. Ketika itu Baginda saw sedang tidur dan Baginda saw berpeluh, lalu datang Ummu Salamah dan mengumpul peluh yang ada di atas lengan nabi saw. Apabila nabi saw terjaga, nabi saw pun bertanya pada Ummu Salamah akan sebab dia melakukannya dan Ummu Salamah menjawab :

 

“ Kami nakkan wangian yang terbaik untuk kami. “

 

Lalu nabi saw berkat :

“ Kamu benar. “

 

Bermaknanya wangian ini dalam kehidupan nabi saw sehinggakan Baginda saw menjadikannya 1/3 dari mas kahwin Fatimah ra.

 

Antara sunnah dalam wangiann adalah nabi saw mengajar kita agar tidak menolak wangian apabila menerima ia sebagai hadiah atau diberi di tempat yang khusus. Nabi saw suka menggunakan wangian kasturi. Sabda Baginda saw :

 

“ sebaik-baik wangian ialah kasturi. “

 

Selain itu, nabi saw juga menyukai ‘anbar dan Faghia( bunga dari pohon inai ) serta wangian raihan. Nabi saw bersabda :

 

“ sesiapa yang mendapat raihan maka jangan ditolak, kerana ia berasal dari syurga. “

 

Wangian nabi saw sangat istimewa sehinggakan orang akan tahu jalan mana yang telah digunakan oleh nabi saw kerana baunya hinggakan apabila nabi saw bermain dan menggosok kepala kanak-kanak, apabila kank-kanak itu pulang ke rumah, kedua ibu bapanya akan tahu bahawa anaknya telah bertemu dengan nabi saw kerana bau yang melekat.

 

Nabi saw sentiasa menggunakan wangian ketika umrah, menunaikan solat, menghadiri majlis, pada hari perayaan dan sebagainya.

 

Disunatkan seorang isteri menyapu wangian pada suaminya dan begitu juga sebaliknya. Wangian adalah sunnah yang sentiasa diamalkan.

 

Sunnah wangian adalah sunnah yang sangat indah dan rugilah kalau kita tidak berusaha mengamalkannya.

 

 

 

Sunnah dalam menggunakan kenderaan

 

Allah SWT befirman :

“ Dia menjadikan untukmu kapal dan ternakan yang kamu untuk dinaiki supaya apabila kamu duduk di atasnya kamu akan ingat nikmat Tuhanmu. “

 

1. Pertama sekali kita harus sedar bahawa Allah SWT yang menyediakan semua kemudahan yang kita miliki termasuklah kenderaan.

 

2. Syukurilah nikmat ini dengan membaca doa apabila menaikinya :

 

 

 

Apabila kita membeli satu kenderaan baru, disunatkan untuk kita membaca bismillah sebelum menaikinya dan kemudian bersyukurlah kepada Allah dengan membaca :

 

“ segala puji bagi Allah atas kurniaan rezeki di luar kemampuan dan kekuatanku. “

 

 

 

 

Sebelum kita menerima kunci kenderaan yang baru kita beli disunatkan membaca :

 

“ Ya Allah, berikan aku kebaikannya dan kebaikan penciptaannya dan jauhkanlah aku dari kejahatan dan kejahatan penciptaannya. “

 

Sunnah membaca doa di atas agar ia diberkati oleh Allah SWT.

 

3. Sangat digalakkan juga oleh nabi saw agar kita memberi tumpangan pada mereka yang memerlukan. Nabi saw bersabda:

 

“ Barangsiapa yang mendapat nikmat tunggangan, maka manfaatkannya untuk mereka yang tak dapat. “

 

4. Rasulullah saw selalunya mencuci dan membersihkan tunggangannya sendiri.

 

5. Apabila kita hendak menumpang seseorang, dahulukan pemilik kenderaan itu untuk duduk di hadapan kerana dia lebih berhak melainkan pemilik itu memberikan tempat duduk tersebut kepada kita.

 

Oleh itu, bila kita nak menumpang jangan terus duduk tapi tanya dan mintalah kebenaran terlebih dahulu akan dimana boleh kita duduk.

 

6.  Nabi saw mengajar kita seandainya kita berada dalam kenderaan, kita boleh memanfaatkan masa dengan mendengar atau membaca Al-Quran bagi mereka yang menghafal. Kita juga boleh mendengar syarahan kita-kitab atau apa-apa yang mampu mendatangkan kebaikan untuk diri dan iman kita.

 

7. Jika berhadapan dengan kesusahan ketika memandu seperti ada pemandu lain yang melakukan kesalahan, jangan kita terus mencaci dan memaki kerana ini sangat dilarang oleh nabi saw tetap bersabarlah. Sebaiknya sebutkanlah bismillah( sunnah ).

 

Kalau kita mencaci ia hanya akan menjadikan syaitan yang menghasut kita lebih besar tetapi apabila kita membaca bismillah, syaitan itu akan menjadi semakin kecil dan lemah.

 

Kenderaan bukanlah ukuran kepada nilai seseorang individu kerana itu elakkan dari bermegah dengan sesuatu yang kita miliki. Tapi bersyukurlah kepada Allah SWT kerana segala yang kita ada adalah pemberian Allah SWT.

 

 

 

 

 

 

 

Sunnah untuk zuriat yang baik

 

Nabi Muhammad saw bersabda :

“ Sesungguhnya wanita ketika dia hamil merupakan berjihad dijalan Allah. “

 

Sungguh wanita ketika hamil mendapat ganjaran yang sangat besar dari Allah SWT. Wanita ketika hamil, melahirkan dan menyusukan adalah perjuangan di jalan Allah SWT. Dan jika dia mati, matinya dianggap syahid.

 

1. Nabi saw bersabda :

“ pilihlah tempat engkau menanamkan air mani (benih)mu. “

 

Dalam hadis ini nabi saw memberi panduan kepada kaun lelaki terutamanya agar memilih wanita terbaik yang mampu dicarinya untuk dijadikan ibu kepada anak-anaknya kelak. Melalui hadis ini dapat kita kaitkan dengan hadis yang mana nabi saw mengatakan bahawa wanita itu biasanya dikahwini kerana 4 perkara, pertama kerana agamanya, kedua kerana kecantikannya, ketiga kerana keturunannya dan keempat kerana hartanya. Kemudian, nabi saw mengajar kita agar pilihlah wanita itu kerana agamanya, nescaya kualiti itulah yang terbaik.

 

Apa yang dikatakan di atas adalah sunnah pertama yang wajar diikuti oleh setiap insan yang berkeinginan untuk mendirikan rumah tangga.

 

2. Nabi saw juga menganjurkan kita untuk membaca doa ini apabila ingin mendatangi isteri :

 

 

 

Inilah doa yang telah diajar oleh nabi saw agar dapat membina tembook perlindungan bagi zuriatnya atau anak yang akan dikurniakan sepanjang hidupnya.

 

 

 

 

 

3. Wanita itu apabila hamil haruslah dia bersangka baik pada Allah SWT dengan kandungannya. Jangan berfikir bahawa anak yang ada dalam kandungan itu akan mendatangkan keburukan kelak.

 

4. Banyakkan berzikir dan membaca Al-Quran ketika hamil agar kandungan itu suci dan terpelihara.

 

5. Apabila si ibu merasakan ada pergerakan dalam janin maka bacalah doa :

 

“ Moga Allah melindungimu, menerimamu dan dilindungi daripada syaitan. Wahai Tuhanku lindungilah dia dari syaitan, wahai Tuhanku lindungilah dia dari malapetaka, wahai Tuhanku jadikanlah dia seorang yang soleh. “

 

6. Bagi seorang ayah, apabila isterinya sedang hamil banyakkanlah berdoa untuk anak itu dengan doa-doa kebaikan kerana doa seorang ayah pada anaknya sangat mustajab.

 

7. Nabi saw apabila menerima berita kelahiran Fatimah ra, Baginda saw terus pulang ke rumah dan mencium anaknya. Maknanya disini adalah kita harus menyambut kelahiran zuriat yang Allah SWT kurniakan buat kita dengan perasaan gembira.

 

8. Meskipun jantina yang Allah SWT berikan tidak berkenan di hati kita tapi lupakanlah perasaan itu dan bergembiralah kerana sesungguhnya ia adalah rezeki dari Allah SWT.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Sunnah dalam menyambut kelahiran

 

Nabi saw mengkhabarkan kepada kita bahawa syaitan mempermainkan anak yang baru dilahirkan dari ibunya kecuali Maryam as dan anaknya Isa as kerana ibunya memohon perlindungan dengan berdoa :

 

“ Aku mohon perlindunganMu untuknya serta anak-anak keturunannya daripada syaitan yang direjam. “

 

1. Nabi saw apabila menyambut kelahiran Hassan, Baginda saw telah mengalunkan azan ke telinga kanannya dan iqamah ke telinga kirinya. Perkara ini sunnah dilakukan untuk bayi lelaki mahupun bayi perempuan

 

Nabi saw memberitahu kita bahawa bayi yang diazankan takkan diganggu oleh Ummu Sibyan( syaitan yang suka mengganggu bayi yang baru dilahirkan ).

 

2. Bertahnik. Pada zaman nabi saw, bayi yang baru dilahirkan biasanya akan dibawa oleh si bapa kepada Rasulullah saw untuk ditahnik terlebih dahulu sebelum bayi itu disusukan ibunya.

 

3. Sunnah yang seterusnya adalah menamakan bayi. Apa yang istimewanya dalam sunnah ini adalah ia dilakukan pada hari ke 7  selepas kelahirannya.

 

Nabi saw bersabda :

“ Namakan mereka dengan nama para nabi dan sebaik-baik nama ialah Abdullah dan Abdul Rahman. “

 

4. Bercukur. Disunnahkan pada hari ke 7 selepas kelahiran bayi untuk dicukur kepalanya sehingga habis. Hal inilah yang telah dilakukan oleh nabi saw kepada Hassan dan Hussin.

 

5. Menderma berdasarkan berat rambut bayi. Timbanglah berat rambut yang telah dicukur dan dermakanlah perak dengan berat timbangan yang sama. Ulamak berkata jika ingin mendermakan emas maka ia lebih baik untuk muslimin dan fakir miskin.

 

6. Aqiqah. Ia adalah sunnah dengan menyembelih 2 ekor kambing bagi anak lelaki dan seekor kambing bagi anak perempuan lalu menyediakannya dan menjemput orang ramai untuk menikmatinya.

 

7. Berkhatan. Ia diwajibkan bagi anak lelaki dan digalakkan bagi anak perempuan.

 

Amalkanlah sunnah-sunnah ini dengan harapan agar mereka akan hidup bersama sunnah nabi saw sepanjang hidup mereka. Alangkah indahnya jika bayi-bayi telah didedahkan dengan sunnah sejak mereka dilahirkan lagi.

 

Sunnah dalam pertuturan

 

Sebaik-baik pertuturan adalah milik nabi saw. Baginda saw menggunakan kata-kata yang sangat indah dan andai kata ada yang cuba menggantikan satu perkataan dalam kata-kata Baginda saw dengan perkataan lain pasti dia tak akan mampu melakukannya.

 

Bertuturlah dengan perkataan yang baik kerana syaitan menggunakan kata-kata untuk menimbulkan perselisihan antara manusia.

 

1. Nabi saw apabila bertutur dengan pihak kafir Baginda saw akan menuturkan kata-kata yang lembut dan tidak membuat mereka merasa seperti dituduh. Sabda Baginda saw seperti yang disebut didalam Al-Quran:

 

“ katakanlah: Kamu tidak akan bertanggungjawab tentang kesalahan yang kami lakukan dan kami pula tidak akan bertanggungjawab tentang apa yang kamu kerjakan. “

 

Dalam erti kata lain nabi saw memberitahu: kamu( pihak kafir ) menuduh kami dipihak yang salah sedangkan kamu tak layak mempertikai kesalahan kami, setiap orang bertanggungjawab terhadap dirinya.

 

Baginda saw tidak hanya menyebut “kamu tidak akan bertanggungjawab tentang kesalahan yang kami lakukan “ tetapi nabi saw menambah “dan kami pula tidak akan bertanggungjawab tentang apa yang kamu kerjakan. “ agar mereka tidak merasa seperti dituduh.

 

2. Apabila ingin menegur kesalahan syarak, Baginda saw tidak terus menegurnya tetapi bertanya terlebih dahulu akan sebab individu tersebut melakukannya.

 

Kadang-kadang nabi saw akan bercakap dengan sahabat karib individu tersebut agar mereka yang lebih kenal akan perwatakannya dapat memberi teguran dengan cara yang lebih berkesan.

 

3. Ramai dalam kalangan remaja masa kini yang menjadikan kata-kata kasar dan kejian sebagai cara mereka berkomunikasi dan ini bukanlah apa yang dianjurkan nabi saw. Sunnah nabi saw adalah tutur kata yang lembut dan tidak menyakitkan hati si pendengar.

 

Meskipun tutur kata inilah yang popular dalam kalangan sahabat kita jangan kita jadikan ia sebagai suatu ikutan tapi jadikanlah diri kita sebagai pencetus yang mampu menyebarkan sunnah nabi saw dalam kalangan sahabat kita.

 

4. Nabi saw bersabda:

 

“ Janganlah kau mencela orang lain. “

 

Aplikasi saranan nabi saw ini bukan hanya untuk manusia tapi untuk setiap makhluk yang ada diatas muka bumi ini.

5. Nabi saw bersabda:

 

“ Mungkin satu pertuturan daripada seorang lelaki membuatkan khalayak ramai ketawa akan menghumbankan dia ke dalam api neraka yang lebih jauh dari gugusan bintang. “

 

Mungkin kita ingin bergurau tetapi ramai yang tak sedar bahawa gurauan itu mungkin

mengandungi lafaz yang biadap terhadap Allah SWT.

 

Nabi saw meskipun ingin bergurau tetapi Baginda saw tidak pernah berbohong dalam gurauannya.

 

6. Nabi saw melarang kita bertutur dengan orang lain dengan kata-kata yang mengandungi kutukan atau kata-kata yang mampu membuatkan kita lupa dengan nikmat Allah SWT.

 

Ini adalah sunnah yang berterusan. Jika kita kita sentiasa mengucapkan kata-kata yang baik maknanya kita berterusan mengikut dan melakukan sunnah nabi saw. Maknanya pahala yang berterusan akan mencurah pada kita.

 

Jangan lupa untuk niatkan didalam hati bahawa kita melakukannya kerana ingin mengikut sunnah nabi saw dan sesiapa yang sentiasa mengamalkan sunnah dialah manusia yang dicintai Allah SWT.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Sunnah Berkaitan Masjid

 

Antara perkara yang sangat dititik beratkan dalam kehidupan nabi saw adalah membina dan menjaga kesucian masjid dan ini jelas dapat dilihat apabila sampai nabi saw ke Madinah antara perkara pertama yang dilakukan nabi saw adalah membina masjid untuk kegunaan muslimin.

 

Nabi saw bersabda:

 

“ Mahukah aku khabarkan kepada kalian suatu amalan yang mana dengan amalan itu Allah akan menghapuskan kesalahan dan menaikkan darjat ? “

 

Jawab para sahabat :

 

“ Ya, wahai Rasulullah “

 

Baginda saw pun berkata:

 

“ Amalan tersebut ialah meratakan wudhuk( ke seluruh anggota badan ) dalam keadaan dia berasa berat melakukannya ( kerana sejuk misalnya ), memperbanyak langkah ke masjid dan menunggu masuk waktu solat hingga masuk waktu solat yang lain. Inilah ikatan x3 ( ikatan yang mengikat diri dari meelakukan maksiat ). “

 

Bukankah telah dikhabarkan juga kepada kita tantang antara 7 golongan yang mendapat naungan arasy Allah di padang Mahsyar kelak adalah golongan yang mana hatinya terikat dengan masjid. Mereka adalah golongan yang sangat mencintai masjid dan sentiasa meluangkan masa disana.

 

Antara adab dan sunnah yang dianjurkan nabi saw adalah:

 

1. Nabi saw sangat menggalakkan kita untuk membina masjid meskipun di tempat yang terpencil.

 

Sabda Baginda saw :

 

“ sesiapa yang membina masjid kerana Allah, maka Allah akan membina baginya yang seumpamanya di syurga “

( riwayat Tarmizi )

 

 

 

 

 

 

 

2. Allah SWT befirman:

 

“ Wahai anak-anak Adam, berpakaian cantiklah kamu setiap kali ke masjid. “

( Al-Araaf ayat 31 )

 

Sedangkan apabila ingin berjumpa dengan seorang perdana menteri kita akan memastikan pakaian kita adalah yang terbaik inikan pula apabila kita ingin menghadapa raja seluruh dunia.

 

Pakailah baju yang cantik-cantik dan berwangi-wangianlah.

 

3. Baginda saw menggalakkan kita agar memperbanyakkan langkah ke masjid.

 

Sabda nabi saw :

 

“ Berikan khabar gembira kepada mereka yang berjalan dalam kegelapan malam ke masjid, mereka akan mendapat cahaya yang sempurna pada hari kiamat. “

( riwayat Ibn Majah )

 

4. Nabi saw apabila berjalan ke masjid, Baginda saw akan membaca doa ini:

 

“ ya Allah jadikanlah cahaya pada hatiku, cahaya pada lidahku, cahaya pada pendengaranku, cahaya pada penglihatanku, cahaya di sebelah kananku, cahaya disebelah kiriku, cahaya disebelah atasku, cahaya disebelah bawahku, Ya Allah jadikanlah cahaya untukku. “

( riwayat Bukhari )

 

5. Apabila sampai ke masjid disunatkan untuk meletakkan selipar di tempat yang sesuai, kemudian masuklah ke dalam masjid dengan mendahulukan kaki kanan serta bacalah doa:

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

6. Nabi saw bersabda:

 

“ Apabila salah seorang daripada kalian masuk ke dalam masjid, maka janganlah duduk sehinggalah dia tunaikan solat sunat 2 rakaat terlebih dahulu. “

 

7. Masjid adalah tempat untuk beribdah buat semua kaum muslimin tanpa mengira pangkat. Maknanya, elakkan dari menghampar sejadah di suatu tempat dan membiarkannya disitu sehingga menyebabkan orang lain tidak dapat menunaikan solat di tempat tersebut.

 

Andai kata seorang fakir miskin masuk kedalam masjid dan duduk di saf hadapan tempat yang hanya dikhususkan untuk perdana menteri sekalipun, tiada seorang pun yang berhak membangunkannya dari tempat tersebut kerana itu adalah rumah Allah.

 

8. Tidak wajar bagi 2 orang untuk bercakap-cakap didalam masjid sedangkan disebelahnya ada orang yang sedang membaca Al-Quran.

 

9. Bagi yang membaca Al-Quran pula tidak wajar baginya meninggikan suara ketika membaca sehingga mengganggu orang lain yang sedang mengerjakan ibadah juga.

 

10. Nabi saw gemar beriktikaf didalam masjid dan ini adalah satu sunnah yang sangat mudah untuk diikuti. Meskipun kalau kita beriktikaf hanya untuk beberapa minit dengan niat hendak mengikut sunnah nabi saw, itupun sudah cukup.

 

11. Apabila hendak melangkah keluar dari masjid dahulukanlah kaki kiri dan berdoalah dengan doa:

 

 

 

 

Sesungguhnya masih banyak lagi sunnah nabi saw apabila berkaiatan dengan masjid. In shaa Allah ada rezeki dapat kongsi lagi di lain hari :)

 

 

 

bottom of page