TUTUPLAH AURATMU
Berbicara mengenai isu menutup aurat, masih ramai mengambil ringan tentang isu ini. Umat islam wajib menutup aurat mereka seperti yang ditetapkan oleh syariat Islam. Namun, masih ramai yang tidak dapat menutup aurat mereka dengan sempurna sama ada lelaki mahupun perempuan malah pelbagai alasan yang diberikan ketika ditegur supaya menutup aurat.
Jika kita perhatikan perempuan zaman sekarang, ramai yang tidak menutup aurat dengan sempurna. Apa yang dimaksudkan dengan tidak menutup aurat dengan sempurna di sini ialah seperti memakai tudung yang nipis dan singkat sehingga dapat dilihat apa yang tersembunyi di sebalik tudung tersebut. Tidak salah bertudung mengikut fesyen terkini tapi pastikan perkara tersebut tidak melanggar syariat islam. Pakailah tudung yang tidak nipis dan melepasi bahagian dada.
Seterusnya, ramai perempuan yang memakai baju yang ketat dan sendat sehingga menampakkan bentuk tubuh mereka. Tanpa mereka sedari, hal ini boleh menaikkan syahwat lelaki yang memandangnya dan seterusnya akan meningkatkan kes rogol dan zina. Namun, mereka seolah – olah bangga mempamerkan ‘aset ‘ mereka kepada orang tanpa memikirkan hukum-hakam dan risiko yang bakal berlaku.
Bukan sahaja masalah baju ketat malah seluar atau skirt yang dipakai juga ketat dan tidak menepati kehendak syarak. Masalah ini bukan sahaja terdiri daripada golongan muda malah golongan tua juga yang memakai seluar ketat dan berfesyen seperti orang muda. Perkara seperti ini amatlah dikesali dan amat memalukan. Mungkin disebabkan terlalu berfesyen telah membutakan mata hati mereka.
Aurat yang paling diambil ringan oleh perempuan ialah bahagian lengan dan kaki. Ramai yang memandang enteng perkara ini. Sebagai contoh, bagi yang memakai baju kurung, apabila mereka mengangkat tangan, bahagian lengan akan kelihatan. Untuk mengelakkan hal ini berlaku, mereka boleh memakai ‘ handsock ‘ supaya aurat mereka tidak terdedah. Bahagian kaki juga perlu diambil kira kerana kaki juga merupakan aurat.
Bukan perempuan sahaja yang perlu menutup aurat tetapi lelaki juga wajib menutup aurat mereka. Apabila melakukan aktiviti atau bermain sukan, kebanyakkan lelaki tidak mengambil berat tentang aurat mereka dengan memakai seluar pendek sehingga menampakkan bahagian peha. Oleh itu, lelaki juga perlu memandang serius terhadap isu menutup aurat bukan sahaja perempuan.
Marilah sama – sama kita mematuhi perintah Allah SWT dan menjauhi laranganNya agar kehidupan kita selamat di dunia dan di akhirat.