Kehidupan ini tidak terhenti di sini bahkan kematian di dunia adalah titik permulaan bermulanya sebuah perjalanan yang lebih jauh ke negeri abadi. Meniti kehidupan di dunia ini memerlukan kita untuk punya jiwa yang besar, jiwa yang tidak mudah kalah dan goyah dengan fatamorgana dunia.
Manusia sering saja mengheret jiwa kita untuk menjadi lemah sehingga kadang kita merasa lelah dan nafas mula tersekat. Dada terasa sesak kerana sikap manusia yang banyak mengecewakan kita.
Duhai diri, Allah ingin mengajarkan kepada kita sesuatu. Sungguh! Kebergantungan kita kepada manusia hanya menjadikan kita semakin lemah. Bagaimana mungkin tidak, kita sedang berharap kepada suatu makhluk yang diciptakan penuh dengan sikap suka mengeluh dan banyak kekurangan.
Benarlah, manusia itu dicipta dengan kelemahan. Di dalam surah an Nisa’ ayat ke 28, Allah Taala berfirman yang bermaksud,
“Allah hendak memberikan keringanan kepadamu kerana manusia diciptakan (bersifat) lemah.”
Oleh yang demikian, sangat tidak munasabah bagi kita yang tidak sempurna dan dicipta dengan penuh kelemahan berani mendabik dada menyatakan kehebatan dan kemampuan kita kerana setiap apa yang kita miliki sehingga detik ini, segalanya adalah pinjaman anugerah Allah yang bila-bila masa sahaja akan diambil pulang.
Duhai diri.
Ambil nafas dan tenangkan hatimu.
Senyum!
Jiwa yang di dalamnya ada keyakinan yang benar- benar mantap pada Zat agung Allah tidak akan mudah dikalahkan, tidak akan mudah digoyahkan.
Mehnah dalam perjuangan telah dirasai oleh mereka yang jauh lebih hebat dari kita. Kata nista, cacian, penghinaan sudah menjadi sebati dalam perjuangan mereka yakni dari umat salafussoleh. Mereka tidak mengeluh bahkan bersyukur kerana dengan beratnya ujian diterima bererti semakin banyak jualah pahala yang bakal mereka terima kelak.
Kalian tahu kerana apa?
Kerana mereka sangat mengenal Allah SWT. Mengenali Allah menjadikan mereka kuat. Allah telah menyerapkan kekuatanNya keseluruh pembuluh darah mereka sehingga menjadikan mereka sangat berani!
“Orang mukmin menjadi kuat kerana mereka mengambil kekuatan daripada zat yang maha Kuat. Mereka percaya dan berserah diri kepada Allah. Mereka juga yakin Allah sentiasa menyertai di mana sahaja mereka berada. Mereka percaya Allah pasti memberikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman dan melemahkan orang yang membela kebatilan.” [Yusuf al-Qardhawi]
Jiwa pencinta Allah sangat mendahagakan kasih sayangNya!
Segala ujian yang datang kepada mereka hanyalah diibaratkan sebagai kemuncup-kemuncup kecil yang cuba mengganggu keselesaan.
Segalanya kelihatan kecil kerana apa yang mereka lihat adalah Allah yang paling besar,Maha Besar dan tiada yang lebih besar selain Allah!
Inilah jiwa yang seharusnya kita bina.
Medan dakwah ini adalah milik mereka yang punya impian besar untuk ummah. Impian yang diiringi dengan gerak usaha yang luar biasa hebat dan hanya yang benar- benar ikhlas sahaja yang akan mampu mengharunginya dengan senyuman.
Jiwa perlu besar, roh juga perlu diisi dengan makanan rohani yang agung, nasihat yang disebar juga perlu selari dengan amalan. Teringat satu kata-kata ulama’ Malik bin Dinar.
“Nasihat yang tidak diiringi dengan tindakan amal perbuatan ibarat air yang mengalir di atas batu.”
Kerana itulah pada diri seorang daie itu perlukan amal perbuatan yang selari dengan kata nasihat kepada ummah. Jika tidak, nasihat yang diberikan itu hanya sekadar singgah namun tidak sampai tepat pada hati.
Kekuatan yang harus kita miliki perlu bermula dengan pengharapan kita kepada Allah. Perakuan Allah yang Maha Hebat dalam merencanakan gerak kerja dakwah kita. Allah lah yang memiliki segala-galanya.
Walau siapa pun kita, walau kerdil mana pun kita, teruslah berlari memurnikan urusan dakwah pada ummah. Ummah perlukan pembelaan kita. Besarkan jiwa kita dengan keagungan cinta padaNya. Dunia ini adalah tempat untuk kita bekerja keras, kubur itu sebagai tempat istirehat untuk kita dan akhirat nanti sebagi tempat untuk kita menuai hasil. Tanamlah tanaman amal soleh di dunia agar hasil tuaian kita berbuah lebat di syurga kelak.
Ada satu kisah yang wajar kita jadikan tauladan.
Suatu hari, Abdullah bin Ahmad bertanya kepada ayahnya Imam Ahmad bin Hanbal akan satu soalan,
“wahai ayah, bilakah masanya kita betul-betul boleh berehat?”
Sambil memandang lembut ke dalam mata anaknya, Imam Ahmad bin Hanbal dengan penuh tenang dan hikmah menjawab soalan anaknya itu.
“kita hanya betul- betul boleh berehat apabila kaki kita sudah masuk ke dalam syurga.”
Bangkitlah dari mimpi wahai singa- singa Allah!
Teruslah berlari membangunkan ummah yang sedang tenat ini.
Impikan!
Besarkan impian kalian!
Percayalah, Allah pasti ada dan sedia membantu.
Allah tidak akan pernah bertanya akan apa hasilnya dakwah kalian namun Allah ingin melihat sejauh mana kesungguhan usaha kalian.
Fafirru ilallah! (Segeralah kembali kepada Allah)